Ayra Inara perlu RM50,000 untuk pembedahan jantung  - Utusan Malaysia

Ayra Inara perlu RM50,000 untuk pembedahan jantung 

BAYI berusia sebulan, Ayra Inara Alif Imran memerlukan sumbangan orang ramai bagi mengumpul dana menjalani pembedahan jantung berjumlah RM50,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Ketika masih berada dalam kandungan ibunya, Ayra Inara Alif Imran telah didiagnosis mempunyai masalah bengkak buah pinggang oleh doktor.

Selepas dilahirkan lebih sebulan lalu pula, bayi itu terpaksa dikeluarkan secara pembedahan pada saat-saat akhir dan doktor yang memeriksanya ketika itu mendapati, Ayra Inara mempunyai masalah saluran darah di bahagian jantung yang sempit sehingga bekalan oksigen di dalam badannya tersekat.

Menurut Pengerusi One Hope Charity and Welfare Bhd., Datuk Chua Sui Hau, masalah utama yang dihadapi Ayra Inara ketika ini melibatkan jantung dan buah pinggang.

Katanya, ketika ini juga bayi berkenaan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) di sebuah hospital dan perlu menggunakan bantuan pernafasan serta ubat untuk mengembangkan saluran darah jantungnya supaya bekalan oksigen dapat dibekalkan sehingga ke seluruh tubuhnya khususnya di bahagian bawah badan.

Jelas Sui Hau, penggunaan ubat yang berterusan bagaimanapun memburukkan masalah buah pinggangnya dan bagi mengatasi masalah tersebut pembedahan jantung perlu dijalankan terlebih dahulu.

“Sepatutnya pembedahan Ayra Inara dilakukan di IJN (Institut Jantung Negara) atau Hospital Serdang (Selangor). Bagaimanapun, keadaan tidak mengizinkan kerana memakan masa, tambahan pula hospital tersebut digunakan sebagai pusat rawatan Covid-19 ketika ini.

“Justeru, satu pembedahan jantung perlu dibuat di hospital swasta dengan kos yang dianggarkan mencecah RM50,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Sui Hau, bapa bayi tersebut, Alif Imran Abd. Aziz, 25, bekerja sebagai operator kilang manakala ibunya, Alkma Nordin, 25, merupakan pembantu klinik gigi swasta dengan masing-masing berpendapatan RM1,500 dan RM1,000 sebulan.

Katanya, dengan jumlah pendapatan tersebut serta terpaksa menanggung seorang lagi anak berusia tiga tahun yang kini dijaga neneknya buat sementara waktu, mereka tidak mampu untuk mengumpul dana bagi membiayai kos pembedahan itu.

“Selepas membuat beberapa pengesahan berkaitan, kami bersetuju membantu pasangan itu mengutip dana daripada orang awam dan menguruskan pembedahan Ayra Inara.

“Sumbangan boleh disalurkan menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org atau melalui applikasi One Hope Charity menerusi akaun Public Bank Berhad di nombor 3201428817,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya