PADANG TERAP: Cubaan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar menyeludup masuk ke negara ini menerusi sempadan Malaysia-Thailand dekat sini gagal apabila mereka ditahan anggota tentera dalam Op Benteng dekat sini semalam.
Kesemua PATI termasuk empat wanita berusia antara 17 hingga 39 tahun itu ditahan di laluan balak kira-kira pukul 1.25 petang.
Markas Divisyen Kedua Infantri (2 Divisyen) dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, kejadian berlaku di laluan balak sektor Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri.
Katanya, sub unit yang melakukan rondaan di kawasan itu bertembung dengan tujuh individu terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita yang berjalan di laluan denai bukit.
“Kumpulan ronda tersebut kemudian bertindak menahan kumpulan individu berkenaan untuk pemeriksaan. Hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki kad pengenalan Malaysia dan disyaki PATI,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kesemua PATI terbabit seterusnya dibawa ke Kem Sahara untuk siasatan awal.
“Siasatan awal mendapati mereka merupakan PATI warga Myanmar yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 39 tahun. Mereka didapati cuba memasuki negara ini melalui sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand dengan menggunakan laluan tidak sah,” jelasnya.
Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM3,237 melibatkan mata wang Malaysia, Myanmar dan Thailand serta telefon bimbit dan barang kemas.










