Anggota tentera darat terlibat jenayah buli akan diberhentikan serta-merta  - Utusan Malaysia

Anggota tentera darat terlibat jenayah buli akan diberhentikan serta-merta 

ZAMROSE Mohd. Zain (kanan) melawat bilik pameran bersama bekas PTD ke-11, Jeneral (B) Tan Sri Dr. Borhan Ahmad (kiri) selepas Majlis Perasmian Galeri PTD di Bangunan Markas Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson hari ini. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Mana-mana anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang terlibat dan didapati bersalah melakukan jenayah buli serta menganiaya anggota lain akan diberhentikan serta-merta.

Itu tegas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain yang mahu mengambil tindakan diambil terhadap anggota yang terlibat dengan sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang.

“Saya mengetahui perkara itu berikutan adiknya dibuli melalui aplikasi WhatsApp, maklumat itu sampai pada saya. Bagaimanapun, saya hanya boleh bertindak apabila dapat butir-butir terperinci, pengadu tidak menjelaskan adiknya di unit mana untuk kami menjalankan siasatan.

“Sekiranya ada mana-mana anggota tentera darat yang menganiaya atau membuli anggota-anggota dan kami menjalankan siasatan ternyata mereka bersalah, anggota yang terlibat boleh diberhentikan serta-merta secepat mungkin.

“Perkara ini tidak perlu dirujuk di Mahkamah Tentera dan akan diberhentikan secara pentadbiran,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Galeri Panglima Tentera Darat (PTD) di Bangunan Markas Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), dekat sini hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial tangkap layar mesej seorang individu yang dimuat naik melalui Twitter @pedoqpop, mendakwa adiknya iaitu seorang anggota tentera yang tinggal dalam kem bujang dipukul dan dibuli sekumpulan anggota (tentera) senior.

Menerusi mesej itu, individu berkenaan turut mendakwa gaji dan wang simpanan adiknya habis kerana terpaksa membeli barangan keperluan untuk 12 hingga 14 anggota senior di kem tersebut.

Selain itu, mangsa juga dikatakan takut untuk membuat aduan kepada pihak atasan kerana kes seperti itu sebelum ini hanya dikenakan hukuman kawat selama 45 minit sahaja.

Sementara itu, Zamrose berkata, Galeri PTD yang mempamerkan koleksi PTD bermula dari pertama hingga ke-28 itu dijadikan sebahagian daripada Kompleks Muzium Tentera Darat, Port Dickson. 

“Usaha penubuhan galeri PTD ini merupakan hasrat Panglima Tentera Darat ke-25, Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bagi menyimpan dan mempamerkan koleksi bekas Panglima Tentera Darat. Ia bagi mengenang segala perit jerih serta pengorbanan besar yang telah mereka curahkan.

“Saya dimaklumkan bahawa dalam usaha menubuhkan galeri ini, beberapa sesi perjumpaan dan temuramah telah diatur bersama bekas PTD bagi mengenali dengan lebih dekat pemimpin ini,” katanya.

Galeri Panglima Tentera Darat turut mempamerkan koleksi peribadi seperti pakaian seragam, pingat, darjah kebesaran serta buku-buku yang dihadiahkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya