Ancaman pasca banjir, risau sampah cetus penyakit

Ancaman pasca banjir

SEORANG penduduk, Sivanesan, 68, termenung melihat longgokan sampah di hadapan rumahnya akibat banjir kilat di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas berde­pan kepayahan menyelamatkan nyawa akibat dilanda banjir hujung minggu lalu, mangsa bencana alam itu kini berdepan satu lagi ancaman yang juga boleh membahayakan nyawa mereka iaitu longgokan sampah.

Longgokan sampah sarap terutama sisa pepejal yang bercampur dengan air banjir tercemar dikhuatiri membawa pelbagai penyakit bawaan air sekali gus mencetuskan penyakit zoonotik kerana sampah sarap yang ‘disimpan’ dalam tempoh lama akan dicemari haiwan perosak terutama tikus dan lalat jika ti­dak dilupuskan segera.

Penyakit zoonotik merujuk kepada jangkitan daripada haiwan kepada manusia akibat bakteria, virus, parasit serta kulat yang boleh mengganggu sistem tubuh manusia dan menyebabkan gejala demam serta keracunan makanan, malah, membawa maut jika tidak mendapatkan rawatan segera.

Memuatkan artikel berkaitan…

Meluahkan kebimbangan itu kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, proses pembersihan sampah sarap pasca banjir perlu dilakukan segera kerana bahan-bahan tercemar boleh bertindak balas kepada manusia pada bila-bila masa.

“Sebenarnya, ia hanya perlu 24 jam atau kurang untuk sampah sarap yang tidak diangkut menjadi sarang kuman dan bakteria. Apabila dikumpul dan terkena air menghasilkan bau busuk, dan membawa keluar longgokan tepi jalan pula mengambil masa.

“Semakin lama ia berada di situ sudah pasti menarik perhatian haiwan pembawa penyakit. Sekarang sudah hampir seminggu selepas banjir melanda dan sampah sarap masih ada. Pengurusan sampah mesti dilakukan dengan betul, pihak berkuasa dan masyarakat perlu memainkan peranan dalam hal ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selasa lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengingatkan pesanan sama, pihak yang terlibat dengan banjir supaya berhati-hati berikutan terdapat peningkatan kejadian penyakit berjangkit mengenai banjir.

Dalam pada itu, Sharifa Ezat turut mengingatkan mangsa banjir yang ditempatkan di beberapa pusat perlindungan sementara supaya mengambil langkah berjaga-jaga kerana dikhuatiri terdedah kepada penyakit berjangkit bawaan air.

Lebih membimbangkan apabila penyakit seperti kolera atau taun, demam kepialu (tifoid), hepatitis A, leptospirosis (air kencing haiwan mamalia seperti tikus) yang berjangkit melalui sentuhan langsung dengan air atau air banjir tercemar akan menyebabkan krisis kesihatan.

“Kadang-kadang, apabila terlalu ramai orang, penyediaan makanan mungkin tidak berapa baik selain kemudahan asas pula kurang. Kena pastikan air benar-benar bersih, dimasak terlebih dahulu, sentiasa membasuh tangan dan najis dibuang di tempat yang sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Victor Hoe Chee Wai Abdullah berkata, individu yang mempunyai gejala penyakit tertentu mesti mendapatkan rawatan segera di mana-mana pusat kesihatan berdekatan.

Beliau juga menegaskan, penting untuk semua pihak memastikan adanya proses sanitasi lengkap, bekalan air bersih dan bilangan tandas mencukupi di pusat-pusat perlindungan terbabit sebelum keadaan bertambah teruk.

“Paling membimbangkan jika terdapat perebakan penyakit melalui kencing tikus kerana selepas banjir, tikus akan berkumpul di tempat-tempat yang terdapat sisa atau bahan buangan. Jadi, pihak bertanggungjawab mesti memastikan ia tidak berlaku.

“Jangan terus mengambil air daripada pili air kerana mungkin ia sudah tercemar. Panaskan sekurang-kurangnya lima minit baharulah menggunakan air tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini