DARI 11 kerusi ditandingi dalam pilihan raya negeri Sarawak 2016, Pas hanya bertanding satu kerusi kali ini di Beting Maro.
Adakah kini menjadi satu trend semua politik di Malaysia yang tidak mahu lagi letakkan calon di banyak kerusi. Tapi cuma memfokuskan kerusi-kerusi boleh menang. Pendek kata, kualiti diutama dari kuantiti.
Mungkinkah Pas sudah mendapat iktibar di Melaka 20 November lalu? Bertanding lapan kerusi, semuanya kalah.
Adakah hari ini, analisis berupa ‘kalau itu, kalau ini’ sudah tak boleh pakai lagi. Misalnya alasan kenapa kalah. Antaranya, “kami kalah tapi undi popular kami tinggi di banyak kerusi (yang kalah)”. Ataupun, “peratusan keluar mengundi susut, tapi kalaulah keluarnya ramai, kami pasti menang.”
Diajukan persoalan trend kerusi bertanding yang berkualiti ini kepada strategis Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki, beliau mengakui Pas sudah mula fokus kepada kerusi-kerusi boleh menang (winnable).
“Jadi, tidaklah jentera kita berpecah-pecah untuk kerusi yang kita sebenarnya tak ada potensi. Memang kita nak fokus trend ini.
“Pas belajar banyak daripada pilihan raya umum lepas yang kita sertai, bertanding sejumlah besar kerusi, iaitu 158 kerusi Parlimen (dari 222) tapi yang mengakibatkan jentera kita tak fokus.
“Lebih membimbangkan waktu itu (9 Mei 2018) telah pecahkan undi orang Melayu yang menyebabkan Pakatan Harapan (PH) menang. Kalau tak berlaku ini semua, memang PH tak menang,” kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat ini kepada Utusan Malaysia selepas pengumuman Mohammad Arifiriazul Paijo sebagai calon Pas di Beting Maro, di Kuching malam kelmarin.
Pagi ini seluruh parti politik Sarawak akan menyerahkan borang penamaan calon masing-masing. Kita saksikan trend fokus kerusi boleh menang ini berlakukah? – UTUSAN ONLINE











