Ambil langkah segera tangani pencemaran Sungai Muda  - Utusan Malaysia

Ambil langkah segera tangani pencemaran Sungai Muda 

PIHAK berkuasa berkaitan digesa mengambil langkah segera menangani masalah pencemaran di Sungai Muda, Kepala Batas ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan segera dan memberi perhatian serius terhadap masalah pencemaran Sungai Muda, di sini ketika ini. 

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati terdapat sampah sarap terdiri daripada bahan plastik, tin minuman dan  botol dikesan terkumpul di dalam sungai itu di kawasan Permatang Bendahari. 

Katanya, timbunan sampah sarap di permukaan sungai itu menyebabkan persekitaran berdekatan sebuah jeti kecil kelihatan kotor. 

“Kami kesal kerana Sungai Muda adalah sumber utama bekalan air bagi kegunaan penduduk-penduduk di Kedah dan Pulau Pinang. 

“Keadaan ini jika berterusan bukan sahaja boleh menjejaskan kualiti air sungai tersebut tetapi menjadi tempat nyamuk membiak yang boleh mencetuskan wabak penyakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mohideen menambah, pihaknya bimbang jika sisa buangan tersebut mengandungi toksik  memberi kesan lebih buruk terhadap alam sekitar, hidupan sungai dan laut serta kesihatan manusia.

“CAP percaya jika bahan buangan ini dibiarkan turut mencemarkan pantai dan laut berhampiran sekali gus mengganggu aktiviti nelayan serta menjejaskan mata pencarian mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran dan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera membersihkan sampah sarap di dalam sungai itu supaya tidak memberi ancaman kepada alam sekitar dan penduduk selain mengambil tindakan berkesan supaya kejadian serupa tidak berulang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya