Amang seksual terhadap anak sendiri: Pengendali kren berdepan 40 tahun penjara - Utusan Malaysia

Amang seksual terhadap anak sendiri: Pengendali kren berdepan 40 tahun penjara

TERTUDUH yang mempunyai tujuh orang anak diiringi anggota polis di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pengendali kren berdepan hukuman penjara 40 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya, sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 45 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah, iaitu bapa telah melakukan amang seksual terhadap mangsa, anak perempuan kandungnya berusia 7 tahun 11 bulan.

Tindakan itu dilakukan pada waktu tengah hari di sebuah rumah di Bukit Rambai, di sini di antara pertengahan hingga akhir Oktober 2018.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sama yang ketika itu telah berusia 11 tahun di alamat sama kira-kira pukul 2.30 pagi, pada 23 November lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang mempunyai tujuh orang anak dengan paling kecil baru berusia setahun didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 dikenakan terhadap kedua-dua pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan dia mempunyai tujuh orang anak yang perlu ditanggung, termasuk mangsa dan dalam proses penceraian dengan isterinya.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah tidak membenarkan tertuduh untuk diikat jamin dan menetapkan 5 Januari tahun hadapan sebagai sebutan semula dan lantikan peguam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya