KUALA TERENGGANU: Fenomena air pasang besar di Terengganu yang bermula esok akan menyaksikan ketinggian ombak mencecah 3.7 meter.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, kejadian ombak tinggi itu dijangka berlaku pada pukul 10.30 malam, Ahad diikuti 11.30 malam (Isnin).
“Tahun ini ombak lebih tinggi berbanding 3.6 meter yang direkodkan tahun lalu, jadi saya menasihatkan penduduk yang sudah biasa dengan fenomena ini agar segera berpindah jika rumah mereka dinaiki air.
“Kita bimbang keadaan menjadi lebih buruk jika berlaku hujan kerana paras air akan lebih tinggi daripada yang dijangkakan di samping faktor angin kencang yang berisiko menyebabkan struktur bangunan runtuh,” katanya dalam sidang akhbar selepas program bersama media di sini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sebanyak 37 kampung di Terengganu berisiko banjir susulan fenomena air pasang besar yang diramalkan selama 10 hari bermula esok hingga 12 Disember.
Daerah Dungun mencatatkan jumlah tertinggi apabila 13 kawasan dikesan terjejas iaitu Kampung Kuala Paka, Kampung Tebing Tembah, Kampung Pinang Merah, Kampung Durian Mentangau, Kampung Sura, Kampung Seberang Pintasan, Kampung Teluk Bidara, Kampung Tanjung Jara, Kampung Che Lijah, Kampung Alur Makbah, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya dan Kampung Sungai Udang.
Dalam perkembangan sama, Hanafiah berkata, peruntukan sebanyak RM2 juta diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai persediaan menghadapi banjir kali ini.
Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM1.5 juta disalurkan kerajaan Persekutuan manakala RM500,000 daripada kerajaan negeri bagi perolehan bekalan makanan.










