Ada dapur rumah golongan M40 langsung tiada makanan - Utusan Malaysia

Ada dapur rumah golongan M40 langsung tiada makanan

MUFTI Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir (belakang tiga kanan) bergambar bersama penerima Bantuan Pendidikan Sesi Persekolahan Tahun 2022 Negeri Selangor di UKM, Bangi, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Zakat Selangor (LZS) sedia membantu golongan rentan terutama dalam kalangan berpendapatan B40 dan M40 yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

Demikian jaminan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Mohd. Sabirin Sarbini apabila ditanya mengenai nasib kelompok berkenaan yang malu untuk tampil memohon bantuan zakat.

“Kita akan lihat apa bentuk keperluan jika layak terima agihan zakat dan sebahagian besar lebih kepada tidak mampu bayar bil rawatan perubatan walaupun di hospital kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Bantuan Pendidikan Persekolahan Sesi 2022 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini hari ini.

Secara umumnya, golongan B40 dan M40 yang terjejas sumber kewangan mereka itu termasuk dalam asnaf gharimin dengan sejumlah 8,433 penerimanya direkodkan sepanjang tahun lalu dengan sejumlah RM58.6 juta agihan bantuan zakat diperuntukkan khusus kepada kelompok berkenaan ketika negara dilanda wabak Covid-19 pada tahun lepas.

Asnaf gharimin di Selangor secara kelazimannya amat terdesak dalam melunaskan hutang keperluan hidup seperti isu bayaran sewa rumah, tunggakan perubatan dan caj rawatan dialisis.

Mengulas lanjut, Mohd. Sabirin meminta masyarakat agar tidak menilai golongan B40 dan M40 hanya dengan melihat keadaan berbentuk luaran seperti kediaman atau kenderaan mereka.

“Apabila pihak LZS pergi ke rumah mereka untuk buat taksiran, kami masuk ke dapur dan lihat bahan mentah masakan pun langsung tidak ada, malah ada ‘ikat perut’ tahan lapar. Mereka mungkin cukup pendapatan untuk menanggung keperluan asas keluarga tetapi apabila ditolak segala komitmen, hendak beli barangan dapur pun masih tidak mampu lagi.

“Kos sara hidup di Selangor menyaksikan golongan berpendapatan bulanan bawah RM6,960 dianggap sebagai B40, manakala M40 pula melibatkan mereka bergaji sehingga RM14,439,” katanya.

Menyentuh sasaran kutipan zakat untuk tahun ini, beliau optimis mampu melepasi RM1 bilion seperti diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Md. Yusop pada bulan lalu, bahkan setakat 30 November lepas, jumlah kutipan sepanjang 2020 melepasi sasaran iaitu RM913 juta meskipun berdepan cabaran isu Covid-19.

“Insya-Allah, LZS mengunjurkan akan berlaku peningkatan sehingga 10 peratus kutipan pada tahun ini dan kemungkinan besar dapat mencapai sasaran lebih RM1 bilion,” jelas beliau lagi yang memberitahu hasrat itu sejajar dengan misi Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof.

Lonjakan tersebut susulan kesedaran tinggi umat Islam di negeri ini menunaikan Rukun Islam keempat itu dengan tahun 2019 merekodkan RM855 juta berbanding RM793 juta pada 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN