SEREMBAN: Seramai 440 orang pelajar Politeknik Nilai di sini telah menjalani saringan Covid-19 susulan tercetusnya Kluster Persiaran Pendidikan Nilai pada 8 Disember lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S. Veerapan berkata, 11 kes pertama jangkitan telah dikesan melalui saringan bersasar pelajar-pelajar menggunakan kit ujian kendiri bermula 3 hingga 6 Disember lalu.
Menurutnya, daripada 11 kes jangkitan Covid-19 tersebut, seramai 36 kontak rapat pula telah dikesan.
“Secara keseluruhan, 19 kes positif positif Covid-19 daripada 36 kontak rapat berkenaan. Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, jumlah saringan yang telah dilakukan adalah seramai 440.
“Daripada jumlah berkenaan, 41 individu telah dikesan positif Covid-19 dan 399 orang lagi negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Veerapan berkata, 10 individu yang dijangkiti telah menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Tampin manakala seorang lagi di hospital.
Menurutnya, selebihnya lagi kini menjalani kuarantin di blok asrama.
“Bagi 38 kontak rapat telah diasingkan di blok asrama yang berbeza. 14 kes positif telah pulih dan dibenarkan pulang,” katanya.- UTUSAN ONLINE