GEORGETOWN: Seramai 357,898 pejalan kaki menggunakan perkhidmatan bot laju atau katamaran sehingga Oktober lalu sejak perkhidmatan itu diperkenalkan bagi menggantikan feri ikonik Pulau Pinang bermula 1 Januari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, perkhidmatan itu disifatkan mendapat sambutan memberangsangkan berdasarkan rekod penumpang (ridership) yang dikemukakan kepada kerajaan negeri setiap bulan.
Jelas beliau, peningkatan ‘ridership’ secara konsisten juga dicatatkan setelah kerajaan negeri memperuntukkan subsidi dengan membiayai tambang kepada semua penumpang pejalan kaki warga tempatan bermula 1 Julai lalu.
“Selain itu perkhidmatan ini juga mendapat sambutan baik oleh pengguna kerana lebih selesa, selamat dan cepat berbanding perkhidmatan feri lama,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Zairil (DAP-Tanjung Bungah) menjawab soalan lisan Muhammad Faiz Fadzil (Amanah-Permatang Pasir) berhubung jumlah penumpang bot laju itu sejak dilancarkan serta sama ada perkhidmatannya mendapat sambutan pengguna.
Selepas hampir 130 tahun menjadi pengangkutan tertua di Pulau Pinang, perkhidmatan ikonik feri yang menghubungkan antara tanah besar dan bahagian pulau negeri ini digantikan dengan bot laju bermula 1 Januari lalu.
Kepada soalan tambahan Datuk Muhammad Yusoff Mohd. Noor (UMNO-Sungai Dua) sama ada sekurang-kurangnya sebuah feri ikonik Pulau Pinang dapat dikekalkan untuk membawa penumpang pejalan kaki, Zairil berkata, perkara yang sama juga diminta kerajaan negeri kepada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri dimaklumkan kos bagi penyelenggaraan feri ikonik itu terlalu mahal sekali gus tidak lagi sesuai untuk terus beroperasi.
“Walaupun kerajaan negeri tidak bersetuju perkhidmatan feri ikonik ini ditamatkan sepenuhnya, namun kita terpaksa menerimanya memandangkan perkhidmatan feri itu di bawah SPPP,” katanya.










