33 calon berentap di lapan kerusi majoriti pengundi Bidayuh - Utusan Malaysia

33 calon berentap di lapan kerusi majoriti pengundi Bidayuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Seramai 33 calon daripada tujuh parti politik termasuk seorang calon bebas bertanding di lapan kerusi yang majoriti pengundi kaum Bidayuh pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Kerusi majoriti pengundi kaum Bidayuh adalah Opar, Tasik Biru, Serumbu, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup dan Bukit Semuja yang merangkumi tiga kawasan Parlimen, iaitu Mas Gading, Puncak Borneo dan Serian.

Kawasan yang menyaksikan pertandingan empat penjuru adalah Kedup dan Bukit Semuja, manakala pertandingan lima penjuru berlaku di Serumbu, Mambong, Tebedu dan Tarat sementara enam penjuru di Opar.

Parti-parti politik yang meletakkan calon masing-masing adalah Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bertindak Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Aspirasi, Parti Sedar Anak Sarawak (SEDAR) dan calon Bebas.

Daripada seramai 33 orang calon itu, menyaksikan penampilan semula seramai tujuh penyandang kerusi, iaitu Datuk Ranum Mina (Opar-PSB), Datuk Henry Harry Jinep (Tasik Biru-GPS), Miro Simbuh (Serumbu-GPS), Datuk Dr Jerip Susil (Mambong-GPS), Datuk Roland Sagah Wee Inn (Tarat-GPS), Martin Ben (Kedup-GPS) dan John Ilus (Bukit Semuja-GPS), kecuali Tebedu di mana GPS meletakkan calon baharu Dr Simon Sinang@Sinang Bada bagi menggantikan penyandang kerusi Datuk Amar Michael Manyin Jawong.

Di kerusi Mambong Dr Jerip ditentang calon PSB Sanjang Daik, Joshua@Katok Roman (PBK), Chong Hon Hiung (DAP) dan Chong Siew Hung (Aspirasi).

Serumbu juga menyaksikan pertarungan lima penjuru di mana penyandang kerusi, Miro ditentang calon PKR Michael Saweng, Ianna Akam (PSB), Dr Jack (PBK) dan Buln Ribos (Aspirasi)

Bukit Semuja yang akan menyaksi perebutan antara empat calon turut menyaksikan penyandang kerusi John Ilus dari GPS ditentang oleh rakan sekolahnya Elsiy Tingang, selain Brolin Nicholson (DAP) dan Edward Andrew Luak (PBK).

Di Kedup juga menyaksikan empat penjuru antara penyandang kerusi Martin Ben dari GPS ditentang calon DAP Leary Jabul, Dominic Dado (PSB) dan Dr Stephen Sungan (PBK).

Muka baru Dr Simon Sinang@Sinang Bada yang dicalonkan oleh GPS menggantikan penyandangnya Datuk Amar Michael Manyin untuk mempertahankan kerusi Tebedu akan ditentang empat calon lain, iaitu Senior Wlliam Rade dari PKR, Cheyne Kambeng@Raymond Achen (PSB), Jonathan Lantik Ok (PBK) dan Roland Bangu (Bebas).

Bagi kerusi Opar, penyandangnya dari PSB Datuk Ranum Mina akan ditentang oleh lima calon lain, iaitu calon baharu GPS Billy Sujang, Mereng Biris (PKR), Saini Kakong (PBDSB), Bayang Telon (SEDAR) fan Freedy Misid (PBK).

Di Tarat, penyandang Datuk Roland Sagah Wee Inn daripada GPS ditentang calon PKR’s Christo Michael, Dadi Tiep (PSB), Edison Jamang (PBK) dan calon Bebas Bai Udin.

Penyandang kerusi Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep dari GPS pula akan ditentang seorang ahli politik veteran yang juga bekas timbalan menteri kabinet persekutuan Datuk Dr Tiki Lafe yang mewakili PSB.

Turut bertanding di Tasik Biru ialah calon DAP Granda Aing dan calon PBK Paul Shanon Kenb Barin.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II Datuk Willie Mongin meminta penyokong-penyokong beliau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong, Serumbu dan Tarat supaya memberi undi mereka kepada ketiga-tiga calon GPS di kawasan tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo, yang merangkumi tiga kawasan DUN berkenaan berkata negeri ini memerlukan kerajaan yang stabil, justeru katanya rakyat negeri ini perlu memberi sokongan kepada GPS untuk membentuk kerajaan yang stabil.

Katanya, rakyat sewajarnya belajar daripada kesilapan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal menjaga kepentingan Sarawak selama 22 bulan memerintah negara ini.

Beliau yang turut hadir di pusat penamaan calon bagi kerusi Mambong berkata kawasan Parlimen Puncak Borneo memerlukan banyak pembangunan yang perlu dilaksanakan.

Dengan adanya kerjasama baik antara kerajaan negeri dan pusat, beliau yakin lebih banyak pembangunan untuk kawasan Puncak Borneo dapat direalisasikan untuk kebaikan rakyat.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya