PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan 3 Disember sebagai Hari Batik Malaysia yang akan disambut pada setiap tahun.
Beliau berkata, sebagai menyokong usaha itu, kerajaan menetapkan Khamis sebagai Hari Pemakaian Batik Malaysia untuk semua penjawat awam dan seluruh Keluarga Malaysia, termasuk di Parlimen.
Kata beliau, pemilihan tarikh tersebut adalah sebagai penghargaan atas segala sokongan dan usaha yang disumbangkan Allahyarhamah Tun Endon Mahmood iaitu isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi .
“Pada 3 Disember 2003, Allahyarhamah memulakan sebuah Gerakan Malaysian Batik-Crafted for the World untuk membawa batik tempatan ke arena antarabangsa.
“Saya percaya perisytiharan Hari Batik Malaysia akan dapat menjadi pemangkin kepada pemerkasaan industri kraf batik tempatan dan rantaian pengeluaran industri batik negara,” katanya ketika berucap mengumumkan tarikh itu secara langsung menerusi siaran berita RTM malam ini.
Ismail Sabri pada masa sama berkata, beliau gembira menyaksikan usaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia dalam membangunkan industri kraf batik negara agar terus mampan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran ekonomi global.










