21 mangsa banjir dipindahkan di Bandar Baharu - Utusan Malaysia

21 mangsa banjir dipindahkan di Bandar Baharu

ANGGOTA APM Bandar Baharu menyelamatkan seorang penduduk kampung yang juga orang kurang upaya (OKU) di Kampung Sungai Tepus, Bandar Baharu malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Seramai 21 mangsa banjir daripada sembilan keluarga di tiga buah kampung dan sebuah taman perumahan di Mukim Bangan Samak dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai (SK) Kechil Ulu di sini malam ini.

Mangsa banjir tersebut dipindahkan selepas rumah mereka terjejas dalam kejadian banjir kilat berikutan hujan lebat selama lebih satu jam bermula pukul 1 petang tadi.

Pada masa sama, sebanyak 21 rumah di tiga kampung dan taman perumahan tersebut turut terjejas dalam kejadian banjir itu.

Tiga kampung dan sebuah tamah perumahan terlibat adalah Kampung Parit Nibong yang melibatkan lima rumah, Kampung  Asam Kumbang (dua rumah), Kampung Sungai Tepus (11 rumah) dan Taman Cahaya Nilam (tiga rumah).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Lt. (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, PPS itu dibuka untuk menempatkan mangsa banjir terlibat bermula pukul 8 malam.

Katanya, mangsa terlibat berpindah selepas kampung tersebut dinaiki air sedalam lebih 0.5 meter.

“Kejadian banjir itu berlaku selepas air dari  Sungai Tepus melimpah ke kawasan kampung tersebut.

“Keadaan banjir di kawasan itu bertambak buruk selepas berlaku limpahan air dari bukit berhampiran serta sistem perparitan tersumbat,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Tambahnya, setakat ini tiada penambahan mangsa banjir di kawasan terlibat dan paras air semakin surut.

Bagaimanapun katanya, kawasan tersebut masih hujan renyai-renyai.

Abdul Rahim berkata, pihaknya masih lagi menjalankan bancian penduduk yang terjejas dan melakukan pemantauan di kawasan parit dan sungai berdekatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN