COPENHAGEN: Satu rawatan baharu untuk tuberkulosis (TB) berpotensi meningkatkan kadar penyembuhan dan memendekkan tempoh rawatan penyakit itu selama beberapa bulan, menurut keputusan kajian klinikal terbaharu.
Di seluruh dunia, dianggarkan 10.7 juta orang jatuh sakit akibat TB tahun lalu, dan 1.23 juta daripadanya meninggal dunia.
Sorfequiline, antibiotik baharu itu, menunjukkan kesan lebih kuat terhadap bakteria pembunuh TB berbanding rawatan sedia ada, dengan profil keselamatan yang sama, menurut penyelidik TB Alliance pada Persidangan Kesihatan Paru-Paru di Copenhagen.
Kajian tersebut melibatkan 309 peserta di 22 lokasi di Afrika Selatan, Filipina, Georgia, Tanzania dan Uganda, dengan pelbagai rejim dos.
Semua peserta menghidap TB sensitif terhadap ubat iaitu boleh dirawat dengan kombinasi ubat standard.
Kajian itu mencadangkan rejim berasaskan sorfequiline boleh digunakan untuk sesiapa sahaja yang didapati positif TB, kata Dr Maria Beumont, Naib Presiden TB Alliance.
“Saya boleh terus mulakan rawatan tanpa perlu menunggu maklumat tambahan untuk mengklasifikasikan pesakit sebagai sensitif ubat atau yang lain. Tidak perlu melalui semua proses itu,” katanya.
Akses kepada ujian diagnostik pantas TB masih tidak konsisten di banyak tempat dan proses mengenal pasti jenis TB yang dihidapi pesakit boleh mengambil masa beberapa hari atau minggu sebelum rawatan khusus dapat diberikan.
Ketua tapak penyelidikan klinikal di Aurum Institute, Rustenburg, Afrika Selatan, Dr William Brumskine berkata, beliau berharap rawatan baharu ini akan meningkatkan mutu penjagaan keseluruhan.
“Harapan kami adalah untuk mempunyai rejim rawatan universal yang lebih singkat dan mempunyai kesan sampingan lebih rendah. Dengan itu, kurang pesakit perlu berulang-alik ke klinik dan penyedia kesihatan akan mempunyai lebih masa untuk memberi perhatian khusus kepada setiap pesakit,” katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan TB masih menjadi masalah kesihatan awam utama peringkat global dan kekal sebagai penyebab kematian berjangkit nombor satu di dunia.










