Antara amalan umat Islam ketika menziarahi kubur adalah membaca al-Quran sama ada surah Yasin atau surah-surah tertentu seperti bacaan tahlil.
Bahkan, ada juga segelintir yang membaca 30 juzuk al-Quran di kubur.
Namun, adakah amalan ini bertepatan dengan syarak atau sebaliknya?
Fadhilat al-Syeikh Prof. Dr. Ali Jum‘ah yang merupakan mantan Mufti Kerajaan Mesir ketika menjawab persoalan hukum membaca al-Quran di kubur membenarkan tindakan tersebut.
Katanya, tiada sebarang larangan di dalam al-Quran atau hadis daripada membaca al-Quran di kuburan.
Maka keizinan membaca al-Quran secara umum tidak boleh disempitkan pada waktu dan lokasi tertentu sahaja, bahkan hendaklah difahami tidak mengapa membaca al-Quran di mana sahaja dan pada bila-bila masa selagi tiada larangan khusus.
Ini adalah berdasarkan satu kaedah di dalam ilmu usul fiqh yang menyatakan: “perintah yang mutlak (kosong daripada sebarang pengecualian) menunjukkan keumuman lokasi, zaman, individu dan keadaan.”
Terdapat beberapa hadis lain yang menunjukkan pembacaan al-Quran di sisi kubur adalah dibenarkan oleh syarak, antaranya yang diriwayatkan al-Imam al-Tobaroniyy dalam al-Mu‘jam al-Kabir: Daripada Abdul Rahman bin al-‘Ala’ bin al-Lajlaj, daripada ayah beliau, beliau telah berkata: Ayahku telah berkata kepadaku: “Wahai anakku, apabila daku telah meninggal dunia, maka kebumikanlah daku di dalam lahad kubur. Maka apabila kalian telah memasukkanku ke dalam lahadku, maka sebutlah: Dengan nama Allah dan atas sunnah Rasulullah SAW. Kemudian tuangkanlah tanah ke atasku dengan lembut. Kemudian bacalah di sisi kepalaku ayat-ayat awal [surah] al-Baqarah dan ayat-ayat akhirnya kerana sesungguhnya daku mendengar Rasulullah SAW menyebut perkara tersebut.”
Selain itu Fadhilat al-Syeikh Prof. Dr. Ali Jum‘ah turut mendatangkan hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tobaroniyy dalam al-Mu‘jam al-Kabir:
Daripada Ibnu ‘Umar, beliau berkata: Saya telah mendengar Nabi SAW bersabda: “Apabila salah seorang daripada kalian meninggal dunia, maka janganlah kalian mengurungnya (melambatkan pengurusan jenazahnya). Cepatkanlah membawanya ke kuburnya. Hendaklah dibaca di sisi kepalanya Fatihah bagi al-kitab (surah al-Fatihah) dan di sisi kedua kakinya penutup bagi al-Baqarah di dalam kuburnya.”
Selain dua hadis di atas, Fadhilat al-Syeikh Prof. Dr. Ali Jum‘ah juga mendatangkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud: Daripada [Saidina] Ma ‘qil bin Yasar, beliau berkata: Nabi SAW bersabda: “Kalian bacalah Yasin kepada orang mati kalian.”
Para ulama berbeza pendapat dalam memahami maksud ‘orang mati kalian’ yang disebutkan dalam hadis.
Kebanyakan berpandangan maknanya adalah orang yang nazak.
Al-Imam Ibnu ‘Abdil Wahid al-Maqdisiyy, Ibnu al-Rif ‘ah dan al-Zarkasyiyy pula merujuknya kepada orang yang meninggal dunia sekali gus bermaksud surah Yasin dituntut untuk dibaca di kubur.
Pandangan ketiga iaitu daripada al-Muhibb al-Tobariyy bermaksud orang mati di dalam hadis adalah orang yang nazak dan orang yang meninggal dunia.
Maka pandangan ini menunjukkan Yasin dituntut dibaca semasa seseorang nazak dan setelah meninggal dunia.
Selain itu al-Imam al-Bukhoriyy dan al-Imam Muslim meriwayatkan dengan sanad mereka berdua: Daripada [Saidina] Ibnu ‘Abbas, beliau berkata: Rasulullah SAW telah melalui dua kubur lalu baginda telah bersabda: “Oh. Sesungguhnya kedua-dua mereka benar-benar sedang diazab. Mereka berdua tidaklah diazab kerana perkara besar [yang susah ditinggalkan]. Adapun salah seorang daripada mereka berdua, dia dahulunya berjalan dengan mengadu domba. Adapun yang seorang lagi, maka dia tidak mengelakkan dirinya daripada terkena air kencingnya.”
[Saidina] Ibnu ‘Abbas telah berkata: Lalu baginda telah meminta diberikan pelepah kurma yang masih segar lalu baginda membelahnya kepada dua belahan. Kemudian baginda menancap satu belahan di atas kubur yang ini dan satu belahan lagi di atas kubur yang ini. Kemudian baginda bersabda: “Mudah-mudahan kedua-dua mereka akan diringankan selagi dua belahan pelepah ini belum kering.”
Lalu al-Imam al-Nawawiyy sewaktu menghuraikan hadis ini dalam kitabnya: al-Minhaj ‘Ala Sharh Sohih Muslim Ibni al-Hajjaj berkata: “Para ulama berpendapat pembacaan al-Quran di sisi kubur adalah disunatkan disebabkan hadis ini kerana apabila keringanan [azab] diharapkan dengan sebab tasbih pelepah kurma, maka bacaan al-Quran adalah lebih patut lagi. Wallahu a‘lam.”
Al-Imam Muslim juga meriwayatkan hadis: Daripada [Saidatina] ‘Aisyah sesungguhnya beliau berkata: “Rasulullah SAW pernah berbaring di ribaanku sedangkan daku ketika itu sedang dalam keadaan haid. Lalu Baginda pun membaca al-Quran.”
Hadis ini difahami oleh Tajuddin al-Fakihiyy dalam kitabnya Riyadh al-Afham Fi Sharh ‘Umdah al-Ahkam, yang menjadi dalil membolehkan membaca al-Quran di tempat berhampiran najis sebagaimana solat dibenarkan di lokasi itu seperti dinding tandas atau kubur dan seumpamanya.
Pandangan fuqaha mazhab Imam Syafie
Al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ pada tajuk cara memasukkan mayat ke dalam kubur menyatakan ulama besar di dalam mazhab Imam Syafie yang dikenali dengan panggilan al-Ashab menyatakan sunat membaca sesuatu daripada al-Quran di kubur.
Bahkan, sekiranya seseorang membacanya sehingga khatam di kubur, maka itu adalah lebih afdal.
Seterusnya al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ pada tajuk seterusnya iaitu takziah dan tangisan atas kehilangan si mati menyatakan Imam Syafie dan seluruh para al-ashab berpendapat orang yang menziarahi kubur disunatkan membaca al-Quran berdasarkan kadar kemampuannya seterusnya mendoakan si mati setelah selesai membacanya.
Pandangan mazhab lain
Kitab al-Fatawa al-Hindiyyah yang merupakan kitab fiqh dalam mazhab Hanafi menyatakan: “Apabila mayat dikebumikan, disunatkan untuk mereka (yang berada di kubur) duduk dalam kadar waktu seekor unta disembelih dan diagihkan dagingnya. Sepanjang kadar waktu itu, mereka (disunatkan) membaca al-Quran dan mendoakan si mayat. Beginilah dalam (kitab) al-Jawharoh al-Nayyiroh. Membaca al-Quran di sisi kubur menurut pandangan Muhammad (bin al-Hasan al-Shaybaniyy) adalah tidak dimakruhkan. Para syeikh kami telah berpegang dengan pandangan beliau.”
Kitab al-Nawazil al-Sughro yang merupakan kitab dalam mazhab Maliki menyatakan: “Adapun membaca (al-Quran) di kubur, maka Ibnu Rushd dalam (kitab) al-Ajwibah, Ibnu al-‘Arabi di dalam (kitab) Ahkam al-Quran dan al-Qurtubiy dalam al-Tadzkiroh menyatakan si mati mendapat manfaat daripada bacaan (al-Quran) sama ada si pembaca membacanya di kubur atau di rumah.”
Kitab al-Sharh al-Kabir karangan Ibnu Qudamah yang merupakan kitab dalam mazhab Hambali menyatakan: “Tidak dimakruhkan membaca (al-Quran) pada pandangan yang paling sahih daripada dua riwayat.”
Ini adalah yang masyhur daripada (al-Imam) Ahmad kerana diriwayatkan beliau berkata: “Apabila kalian masuk ke kawasan perkuburan, maka bacalah ayat Kursi dan tiga kali surah al-Ikhlas. Kemudian sebutlah: Ya Allah. sesungguhnya kelebihannya (pahalanya) adalah untuk ahli perkuburan ini.”
Diriwayatkan juga beliau (al-Imam Ahmad) berkata: Membaca (al-Quran) di kubur adalah bidaah. Kenyataan tersebut diriwayatkan daripada Hasyim. Abu Bakr berkata: “Sekumpulan (para ulama) menukilkan perkara tersebut daripada Ahmad. Kemudian beliau menarik kembali pandangan tersebut.”
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










