13 individu termasuk 3 remaja bawah umur terlibat judi online ditahan - Utusan Malaysia

13 individu termasuk 3 remaja bawah umur terlibat judi online ditahan

MOHD. Roze Shaari (kanan) menunjukkan sebahagian hasil rampasan dalam Op Dadu di Sungai Petani hari ini. - UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis menahan 13 individu termasuk tiga remaja bawah umur dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian di sebuah rumah teres di sini pada 25 November lalu.

Kesemua suspek terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita warga tempatan berusia antara 16 hingga 64 tahun itu ditahan pada pukul 6.30 petang.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari berkata, mereka ditahan ketika sedang leka menjalankan aktiviti perjudian jenis dadu secara langsung.

Beliau berkata, aktiviti perjudian tersebut menggunakan modus operandi perjudian secara langsung menerusi aplikasi WeChat.

“Ini adalah modus operandi pertama yang dikesan dan berjaya ditumpaskan di negeri ini.

“Penganjur menjadikan rumah yang disewa sebagai tempat menjalankan aktiviti ini secara langsung tanpa kehadiran pemain dan akan berpindah jika kegiatan mereka dikesan pihak polis,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini hari ini.

Menurutnya, semua transaksi wang pertaruhan dijalankan secara perbankan dalam talian dan jumlah pertaruhan dianggarkan antara RM10,000 hingga RM15,000 sehari.

“Tiada wang tunai yang dirampas dalam serbuan tersebut namun polis telah merampas beberapa barangan yang digunakan untuk aktiviti perjudiaan tersebut. Antara barang dirampas ialah komputer dan komputer riba, wifi mudah alih, kalkulator, set permainan judi iaitu piring kecil dan mangkuk kecil bersama buah dadu dan telefon bimbit,” jelasnya.

Katanya, polis kini sedang mengesan seorang lelaki warga tempatan berusia 52 tahun dipercayai penganjur aktiviti perjudian tersebut.

“Tiga suspek bawah umur telah direman selama sehari manakala 10 suspek lain direman selama empat hari sehingga 29 November lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 4 (1) (g) Akta rumah judi terbuka 1953,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya