PETALING JAYA: Warganet menerusi siaran Instagram seorang pelakon veteran meluahkan perasaan hampa mereka melihat syarat diletakkan sebuah syarikat penyiaran supaya pelakon-pelakon mempunyai sejuta pengikut di laman sosial sebelum diambil berlakon.
Netizen menyifatkan syarat tersebut sebagai hanya mementingkan populariti dan bukan bakat dimiliki pelakon sebenar.
Berikutan isu itu, pelakon, Namron atau nama sebenarnya Shahili Abdan menerusi laman Instragramnya ‘meminta’ masyarakat mengikut laman media sosial setiap artis kegemaran mereka supaya boleh menyajikan bakat mereka di kaca televisyen.
“So apa lagi? Keputusan di tangan anda. Nak pelakon kegemaran anda beraksi di kaca TV follow them on social media,” tulisnya di ruangan kapsyen Instagram.
Siaran tersebut menarik pelakon-pelakon lain meluahkan pendapat mereka yang turut kecewa dengan syarat itu.
“Ingatkan bila sudah viral sebelum ni pasal isu ‘1M follower’ ni sudah ada tindakan…sebab ada pihak yang menafikan…now muncul balik.. kira dalam surat khabar atau depan media je ke cakap macam tu…realitinya still sama ke?” komen Taufiq Hanafi.
“Kalau nak followers 1M, boleh bayar ikut jumlah followers tak?” komen Nabila Huda.
Melihat siaran yang tular itu, rata-rata pengguna Instagram membidas syarat syarikat penyiaran tersebut dan mengarahkan syarat itu ditarik semula supaya hiburan disajikan kepada mereka mempunyai kualiti tinggi.
“Rosak nilai seni Malaysia puak-puak pandang populariti berbanding bakat ni. Penerbit pun entah datang dari background mana-mana hala mai buat ‘tahi’ dalam industri pilih pelakon macam bodoh,” komen mnabmz.
“Ingat penonton kisah ke berapa follower dia. Yang penting jalan cerita tu…mesti menarik dan kreatif bukan klise,” komen izara_maya.
“Patut la ramai je sekarang tak pernah berlakon pun terus dapat watak heroin. Geram je tengok pelakon-pelakon kayu ni terima tawaran hero heroin…mula la watak sampingan kalau betul-betul nak berlakon,” komen rosdiana.ann. – UTUSAN ONLINE










