JOHOR BAHRU: Polis Johor sudah bersedia dari aspek kawalan keselamatan berhubung pelaksanaan inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat bermula esok yang akan membenarkan sehingga 1,440 pengembara dari Singapura pulang ke negara ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan memastikan keselamatan mereka dengan mempertingkat pengawasan dan operasi secara berterusan.
Katanya, bukan sahaja Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor malah agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah bersedia.
“Kita sudah bersedia dengan kemasukan mereka di bawah inisiatif VTL ini. Semua unit pencegahan jenayah, unit ronda bermotosikal (URB) dan polis peronda (MPV) digerakkan untuk melakukan pemantauan.
“Turut terlibat adalah pasukan task force dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang bertindak mengumpul maklumat seterusnya mengambil tindakan jika ada sebarang tindakan yang boleh ganggu gugat ketenteraman awam,” katanya ketika sesi soal jawab Program Perbincangan Town Hall di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Larkin hari ini.
Dalam pada itu, indeks jenayah di Johor mencatatkan penurunan sebanyak 40 peratus sejak awal tahun hingga Oktober berbanding tempoh sama tahun lalu yang merangkumi jenayah kekerasan, harta benda, curi motosikal, pecah rumah dan samun berkawan tanpa senjata api. – UTUSAN ONLINE