PUTRAJAYA : Kementerian Pengangkutan menetapkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) melalui udara antara Malaysia dan Singapura bermula dari 29 November ini membabitkan enam kali penerbangan setiap hari.
Kementerian tersebut menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, enam kali penerbangan itu dikendalikan setiap satu oleh AirAsia, Jetstar Asia, Malaysia Airlines, Malindo Air, Scoot dan Singapore Airlines.
Menurutnya, di bawah VTL, pengembara dari Singapura mesti menggunakan perkhidmatan penerbangan VTL yang ditetapkan antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Pengembara tidak perlu memohon kebenaran perjalanan ke Malaysia di bawah VTL kerana kemudahan kemasukan akan diproses semasa ketibaan.
“Dalam hal ini, pengembara VTL juga tidak perlu memohon MyTravelPass daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” katanya.
Katanya, antara syarat lain ditetapkan ialah pengembara mesti telah melengkapkan vaksin Covid-19 yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Selain itu, katanya, kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun akan layak untuk perjalanan di bawah VTL tanpa perlu menunjukkan bukti vaksinasi tetapi mereka mesti ditemani oleh pengembara yang memenuhi semua syarat untuk masuk ke Malaysia.
“Pengembara juga mesti berada di Singapura atau Malaysia dalam tempoh 14 hari terakhir berturut-turut sebelum berlepas ke Malaysia.
“Pelancong juga mesti menjalani ujian RT-PCR Covid-19 dalam tempoh dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan semasa tiba di KLIA.
“Pelancong mesti menunggu keputusan ujian mereka di ruang menunggu yang ditetapkan di KLIA dan sebaik keputusan ujian mereka disahkan negatif, mereka boleh terus meninggalkan lapangan terbang,” katanya.
Kementerian berkenaan juga menetapkan keputusan ujian negatif RT-PCR pra-pelepasan atau semasa ketibaan boleh diterima untuk satu atau lebih penerbangan, selagi ujian telah diambil dalam masa du hari sebelum berlepas ke Malaysia.
Jelasnya, ini adalah untuk memberi kelonggaran kepada pengembara yang berhasrat untuk melakukan perjalanan harian atau kerap ke Malaysia.
“Selain itu, pengembara mesti memuat turun dan mendaftar profil mereka dalam aplikasi MySejahtera untuk membantu pengesanan kontak.
“Pelawat jangka pendek, termasuk pengembara perniagaan dan rasmi, mesti mendapatkan visa yang sah untuk pelawat yang memerlukan visa.
“Mereka juga mesti membeli tiket pergi dan balik serta insurans perjalanan dengan perlindungan minimum RM100,000 untuk kos rawatan perubatan dan kemasukan hospital berkaitan Covid-19,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai syarat pra-pelepasan dan kemasukan ke Malaysia boleh didapati di laman web Jabatan Imigresen Malaysia di www.imi.gov.my.
Butiran tentang keperluan VTL bagi perjalanan ke Singapura pula boleh didapati di https://safetravel.ica.gov.sg. UTUSAN ONLINE