SEGAMAT: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membongkar perbuatan tidak berperikemanusiaan seorang warga emas memukul seekor kucing milik jirannya di Taman Yayasan, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, pemilik kucing berkenaan, seorang wanita menyedari kucing jenis Turkish miliknya hilang.
“Wanita berkenaan membuat laporan polis dan pihaknya mengesan satu rakaman video serta gambar kejadian itu yang tular dalam media sosial memaparkan seekor kucing dalam keadaan cedera.
“Ketika mencari kucingnya wanita tersebut ternampak jirannya, iaitu seorang lelaki sedang menjolok ‘sesuatu’ dalam longkang. Wanita itu kemudian mendapati kucingnya di dalam longkang berlumuran darah dipercayai dipukul suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Zamry berkata, rakaman CCTV di kawasan kejiranan memaparkan perbuatan suspek memukul dan melempar kucing berkenaan ke kawasan rumah tidak berpenghuni.
Suspek yang berusia dalam lingkungan 70-an ditahan pada pukul 12.20 tengah malam tadi dan hasil soal siasat dia mengakui memukul kucing berkenaan kerana berasa terganggu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN