ALOR SETAR: Kedah meletakkan sasaran untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini selewat-lewatnya tahun hadapan sebagai antara langkah mengawal penyalahgunaan dadah.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri tidak akan mengambil tindakan drastik kerana dibimbangi akan disaman seperti mana yang dihadapi ekoran penutupan premis nombor ramalan sebelum ini.
Katanya, antara langkah bakal diambil adalah melarang penjualan vape di kaunter kedai-kedai seperti yang dilakukan ketika ini selain tidak lagi akan memperbaharui permit perniagaan yang tamat tempoh.
“Dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Banteras Dadah, semalam kita dibentangkan senario semasa penyalahgunaan dadah dan bahan. Terbaru adalah pengambilan dadah melalui penggunaan vape.
“Disebabkan itu ada usaha bersungguh-sungguh daripada beberapa kerajaan negeri serta agensi berkaitan termasuk NGO yang menyokong penuh langkah mengharamkan jualan vape.
“Kita harap dalam tempoh 2025 perkara itu dapat selesai agar kita mula tahun berikutnya dengan suasana yang baru,” katanya dalam sidang akhbar Mesyuarat Exco Kedah di sini, hari ini.
Tambah beliau, daripada 2.21 juta rakyat Kedah, kira-kira 12,000 daripadanya terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Ada satu dadah yang setitik RM10 dimasukkan ke dalam cecair yang digunakan sebagai perisa vape, ianya lebih mudah tersebar. Kalau dulu ganja kena hisap sampai habis cepat-cepat tapi vape boleh disimpan lama dalam poket sebelum kongsi sehingga 10 orang,” ujarnya.
Katanya, kerajaan negeri serius untuk menangani masalah itu kerana kesan pengambilan dadah membawa kepada pelakuan jenayah lain terutama mencuri.
“Lebih menyedihkan bukan setakat jenayah pecah rumah, curi motosikal dan lain-lain tetapi sampaikan curi getah sekerap di kampung-kampung untuk membeli bekalan dadah.
“Masalah ini telah menjadi kudis dan barah dalam masyarakat kita. Semakin maju dan semakin hebat ekonomi serta perkembangan dunia semakin besar juga penyakit yang dibawa bersama,” katanya. – UTUSAN