PUTRAJAYA: Setelah seminggu diumumkan, Malaysia dan Singapura mengehadkan kuota harian tidak lebih 1,500 individu untuk Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Darat (VTL-Land).
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, pelancaran pembukaan sempadan dua negara itu serentak dengan perjalanan udara atau VTL-Air yang turut bermula Selasa depan.
“Kerajaan kedua-dua negara bersetuju menetapkan kuota 1,500 pengembara sehari pada peringkat permulaan sebelum ditingkatkan dari minggu ke minggu. Pengumuman pelaksanaan VTL darat dan udara disahkan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad pada 18 November lalu hasil susulan persetujuan pergerakan rentas sempadan.
“Untuk VTL-Air, enam penerbangan setiap hari yang melibatkan enam operator dijadualkan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan juga Lapangan Terbang Antarabangsa Changi. Inisiatif tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan hubungan dua hala dan ekonomi antara dua negara selain memberi peluang rakyat yang terpisah ekoran Covid-19 untuk bertemu semula,” katanya.
Mengulas lanjut, Pejabat Perdana Menteri berkata, buat permulaan VTL-Land terhad kepada bas awam sebagai mekanisme pengawalan sebelum mod pengangkutan lain secara berfasa.
“Pusat turun dan naik penumpang di Malaysia ditetapkan di Terminal Larkin Sentral, Johor Bahru manakala di Singapura, Terminal Queen Street akan dijadikan pusat tersebut. Penumpang wajib mendaftar sebelum membeli tiket bas menerusi https://mysafetravel.gov.my untuk masuk ke Malaysia atau https://go.gov.sg/vtl-portal jika mahu pergi ke republik tersebut.
“Pengembara yang layak adalah tertakluk kepada ujian saringan Covid-19 dan keperluan kesihatan terperinci ditentukan oleh kerajaan negara masing-masing. Malah, pelaksanaan VTL-Land dibuat bagi melancarkan pergerakan rentas sempadan tanpa kuarantin kerana ia mengintegrasi protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.
“Individu itu mesti divaksinasi sepenuhnya dan bagi kanak-kanak bawah umur 12 tahun yang belum diimunisasi, mereka harus ditemani ibu bapa atau penjaga lengkap dua dos vaksin. Warganegara Malaysia dan Singapura selain Penduduk Tetap serta pemegang Pas Jangka Panjang kedua-dua negara berjiran itu dibenarkan untuk VTL-Land,” kata kenyataan tersebut,” katanya.
Butiran lanjut mengenai keperluan VTL sama ada darat dan udara turut boleh didapati dengan melayari menerusi laman https://www.miti.gov.my dan https://www.safetravel.ica.gov.sg/.
Sebelum pintu sempadan ditutup pada akhir Mac tahun lalu, lebih 450,000 individu sehari direkodkan melintasi Selat Johor sekali gus menjadikan sempadan laluan darat paling sibuk di dunia. Bahkan penerbangan kedua-dua negara juga kedua paling tinggi di dunia selepas Hong Kong – Taiwan sebelum kemunculan pandemik dengan 5.6 juta penumpang dicatatkan setahun.










