[VIDEO] Ikan yu paus sepanjang tujuh meter muncul di perairan Pulau Kendi - Utusan Malaysia

[VIDEO] Ikan yu paus sepanjang tujuh meter muncul di perairan Pulau Kendi

ROSLIZAN Ramli tidak menyangka terserempak dengan kelibat ikan yu paus dengan saiz kira-kira tujuh meter di perairan Pulau Kendi, Teluk Kumbar, Pulau Pinang pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Seorang nelayan di Teluk Kumbar di sini, tidak menyangka terserempak dengan ikan yu paus bersaiz kira-kira tujuh meter ketika dalam perjalanan keluar memancing dekat belakang Pulau Kendi, pagi ini. 

Roslizan Ramli, 40, berkata, penemuan spesies dengan anggaran saiz lebih tujuh meter panjang itu adalah kali yang kedua dalam hidupnya selepas pertama kali tahun lalu. 

Akuinya, dia tergamam sebaik sahaja menemukan ikan yu paus dalam keadaan timbul di  permukaan laut pada jarak kedudukan hanya 20 meter dari sampan yang dinaiki. 

“Saya dan seorang lagi rakan begitu teruja apabila ternampak kelibat ikan yang saiznya sebesar sampan ketika dalam perjalanan memancing berhampiran Pulau Kendi pukul 10 pagi tadi. 

“Saya terus merakam video saat ikan itu mengelilingi sampan sehingga hilang dari pandangan mata. 

“Spesies-spesies sebegini memang akan timbul di kawasan perairan di sini setiap kali berlaku peralihan angin,” katanya di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Roslizan turut melahirkan kebimbangan dengan nasib yang bakal menimpa terutama hidupan laut sekiranya rancangan projek penambakan tiga buah pulau di situ diteruskan kelak.

“Generasi akan datang tidak berpeluang melihat spesies hidupan laut seperti ini yang timbul di kawasan perairan di sini jika projek tambak laut diteruskan,” jelasnya. 

Terdahulu, video berdurasi 1 minit 53 saat itu tular di media sosial Facebook Penang Tolak Tambak sejak petang tadi. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN