Venue Sukma Johor tidak akan jadi gajah putih - Utusan Malaysia

Venue Sukma Johor tidak akan jadi gajah putih

ONN Hafiz Ghazi (kiri) menerangkan proses penebusan Baucar Pakej Pelancongan Johor di Iskandar Puteri, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri beri jaminan kesemua venue Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 tidak akan menjadi ‘gajah putih’ setelah penganjurannya dianjakkan pada 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelbagai program sudah dirancang pihaknya bagi memastikan venue itu tidak ‘mati’ begitu sahaja.

Katanya, tidak timbul isu venue Sukma Johor itu terbiar dan tidak selenggara sementara menunggu tarikh penganjuran yang baharu kerana infrastruktur itu dipertanggungjawab kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkaitan.

“Perkara itu menjadi kebimbangan kita setelah memutuskan untuk menunda tarikh temasya sukan itu. Justeru, pelbagai program telah dirancang membabitkan venue yang telah siap dibina itu.

“Tambahan pula, setiap venue mempunyai pemegang taruh tersendiri. Jadi, tidak timbul isu ia akan terbengkalai dan tidak diselenggara dengan baik kerana setiap PBT mempunyai kekuatan kewangan.

“Kita akan pastikan perkara itu (gajah putih) tidak akan berlaku. Selain dibuka kepada umum, beberapa venue turut dijadikan pusat latihan buat pasukan kebangsaan. Sebagai contoh, velodrom di sini digunakan oleh pasukan junior kebangsaan untuk menjalani latihan,” katanya pada sidang akhbar berkaitan penebusan Baucar Pelancongan Johor, hari ini.

Beliau mengulas isu Sukma Johor yang dianjakkan pada 2024 selepas Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada Khamis lalu memutuskan penganjuran sukan berprestij negara itu ditangguhkan tiga tahun lagi.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz memberitahu, penangguhan itu diminta oleh kerajaan negeri setelah berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad serta mengadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma.

Katanya, sekiranya Sukma diteruskan pada tahun depan, hampir semua kontinjen berdepan masalah persiapan atlet untuk menyertai temasya sukan berkenaan.

“Daripada 900 atlet Sukma, 30 peratus sudah tidak ada dan mereka tidak berlatih lagi. Kebanyakan mereka memberi tumpuan pada pelajaran, kerjaya dan masa depan mereka.

“Masalah ini bukan hanya berlaku pada kontinjen Johor, malah turut berlaku kepada negeri-negeri lain. Mereka ini tidak boleh tunggu sahaja, jadi ada hikmahnya Sukma Johor ditangguhkan.

“Penganjuran Sukma 2022 oleh MSN di Kuala Lumpur pada tahun depan memastikan tidak berlakunya ‘lost generation‘. Walaupun tidak dianjurkan dalam skala besar, sekurang-kurangnya dapat beri ruang kepada atlet pelapis,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN