KUALA KANGSAR: Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini akan menubuhkan USAS Takaful Academy sebagai pusat penyelidikan dan mercu tanda kecemerlangan dalam bidang takaful, muamalat, perbankan dan kewangan Islam.
Penubuhan USAS Takaful Academy direalisasikan menerusi sumbangan pembiayaan berjumlah RM10 juta daripada FWD Takaful Berhad (FWD Takaful) kepada USAS.
USAS dalam kenyataan hari ini berkata, sumbangan pembiayaan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful, Salim Majid Zain kepada Naib Canselor USAS, Prof. Tan Sri Dr. Nordin Kardi.
Majlis penyampaian sumbangan diadakan di Istana Changkat, Kuala Lumpur pada Jumaat yang disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang juga merupakan Canselor USAS.
Menurut Nordin, tujuan utama USAS Takaful Academy ialah untuk menubuhkan pusat penyelidikan yang berfungsi sebagai repositori penyelidikan, melalui pengumpulan kertas penyelidikan intelektual berkaitan dengan takaful dalam satu pangkalan data.
“Diharapkan ia dapat meningkatkan profesionalisme dalam bidang takaful. Kerjasama ini merupakan pelan jangka masa panjang yang baik untuk mempromosikan dan menyokong pembangunan masa hadapan USAS.
“Dana dan sumbangan yang disalurkan kepada USAS Takaful Academy dapat dimanfaatkan bagi tujuan kemajuan pendidikan, penyelidikan dan promosi,” kata Nordin.
USAS Takaful Academy bakal menjadi badan pemikir takaful dengan mempromosikan biasiswa peringkat Doktor Falsafah dalam program takaful yang bertujuan untuk membangunkan pemimpin pemikiran atau thought leaders.
Akademi itu juga diharap dapat membangunkan barisan pemimpin takaful dengan memperkenalkan kursus Sarjana Pentadbiran Perniagaan dengan pengkhususan dalam bidang takaful melalui konsep berkembar dengan mana-mana badan, mahupun universiti tempatan atau antarabangsa.
Selain itu, kerjasama itu akan meningkatkan kebolehpasaran graduan USAS melalui latihan dan bimbingan pakar bidang berkaitan.
Sementara itu, menurut Salim, penubuhan Akademi itu menyokong visi FWD Takaful dalam usaha untuk merubah pandangan awam mengenai Takaful.
“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan USAS, sebuah universiti yang mempunyai reputasi serta visi untuk menyebarkan kesejahteraan sejagat dengan mengembalikan keagungan tradisi institusi dan ilmuan Islam disamping menerokai ilmu-ilmu baharu.
“Kami berharap kerjasama ini dapat membangunkan skil serta kapasiti anak muda di negara ini serta membentuk golongan profesional bagi industri takaful,” katanya. – UTUSAN ONLINE










