UiTM, UMT meterai MoU kerjasama penyelidikan sejarah Kesultanan Melayu - Utusan Malaysia

UiTM, UMT meterai MoU kerjasama penyelidikan sejarah Kesultanan Melayu

ROZIAH Mohd. Janor (dua kiri) dan Mazlan Abd. Ghaffar (dua kanan) menunjukkan MoU yang ditandatangani kedua-dua universiti di UiTM, Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi Kursi Institusi Raja-Raja Melayu memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi mempertingkatkan kerjasama dalam bidang teknologi, penyelidikan berkaitan sejarah Kesultanan Melayu dan agama Islam.

MoU selama tiga tahun itu merupakan inisiatif kesinambungan antara Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM dengan Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT. 

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, UiTM merupakan satu-satunya universiti yang mempunyai Kursi Institusi Raja-Raja Melayu dan ini adalah salah satu inisiatif bagi universiti menyampaikan hasrat bahawa Institusi Raja-Raja Melayu wajib dijaga dan disuburkan.

“Kita tahu dalam keadaan semasa, ketidakstabilan politik itu telah memberikan kepercayaan lebih tinggi masyarakat Malaysia kepada institusi beraja sebagai mekanisma untuk menyeimbang dari segi kestabilan politik, perpaduan dan hubungan etnik.

“Jadi saya fikir, ini masa terbaik untuk UiTM berhubung dengan universiti lain dan berkongsi kepakaran dan kita juga bercadang untuk menubuhkan galeri berkaitan institusi beraja yang telah disemarakkan oleh UMT melalui Pusat Islam Sultan Mahmud,” katanya

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoU antara UiTM dengan UMT di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Roziah Mohd. Janor dan Naib Canselor UMT, Prof. Mazlan Abd. Ghaffar.

Terdahulu, dalam ucapan aluannya, Roziah memberitahu, kolaboratif antara UiTM dengan UMT membolehkan warga kedua-dua universiti mendapat kelebihan daripada perkongsian ilmu dan rujukan dalam bidang teknologi berkaitan sejarah, budaya, adat resam, agama Islam dan sejarah kesultanan Melayu.

“UiTM sentiasa yakin melalui kerjasama seperti ini, pemindahan ilmu dan penerapan nilai-nilai murni yang berterusan akan melahirkan graduan profesional yang cemerlang,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya