Guna Vellfire lebih jimat daripada Proton Perdana Premium - Kementerian Kewangan - Utusan Malaysia

Guna Vellfire lebih jimat daripada Proton Perdana Premium – Kementerian Kewangan

TOYOTA Vellfire - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa keputusan pertukaran bagi Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) telah pun mengambil kira kos sewaan bulanan lebih rendah.

Malah, penggunaan model Toyota Vellfire 2.5L bagi menteri-menteri Persekutuan dibuat menggantikan Proton Perdana 2.4 Premium yang ditamatkan pengeluarannya pada 2014.

“Kos sewaan setiap bulan bagi model Toyota itu ialah RM4,851.61 berbanding untuk Proton pula RM4,854.41,” kata kementerian berkenaan menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Ia merujuk perbincangan warganet mengenai isu pertukaran KRJ yang panas dalam media sosial kebelakangan ini selain ulasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Isu berkenaan timbul apabila Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Selasa lalu mengesahkan anggota Kabinet menjadikan model itu sebagai kereta rasmi.

Jelasnya, kerajaan dalam jawapan bertulis di Parlimen memulakan proses penggantian KRJ tersebut pada April lalu dan telah membayar sejumlah RM1.42 juta setakat September lepas.

Jawapan itu mengundang kritikan banyak pihak apabila Najib menyindir netizen agar tanya isu tersebut kepada kerajaan sebelum ini kerana mereka menyarankan pertukaran berkenaan.

Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan mengakui cadangan penggantian itu sebenarnya telah dipertimbangkan semasa era pentadbiran terdahulu tetapi terpaksa ditangguhkan.

“Ia sebaliknya hanya dapat dilaksanakan pada tahun ini,” katanya tanpa menjawab kenapa pertukaran itu dibuat tergesa-gesa ketika pelaksanaan darurat dan penggantungan Parlimen.

Kementerian itu bagaimanapun memberi alasan usia KRJ jemaah menteri sebelum penggantian dibuat pada suku kedua tahun ini ada yang mencecah lebih enam tahun.

Sedangkan, jelas kenyataan kementerian tersebut, KRJ bagi anggota menteri Persekutuan sebenarnya memang dijadualkan boleh dilaksanakan pertukaran bagi setiap empat tahun sekali.

Proton Perdana digunakan selama ini ialah versi dipanjangkan yang dikhaskan untuk menteri manakala KRJ bagi pegawai kanan kerajaan telah pun digantikan kepada model Proton X70.

Vellfire atau turut dirujuk sebagai Alphard, ialah van mini mewah keluaran gergasi automotif terkenal Jepun, Toyota sejak 2002 bagi menggantikan versi Grand HiAce atau Granvia XH10.

Kenderaan eksklusif ini mempunyai kapasiti muatan tujuh atau lapan tempat duduk dengan opsyen varian sama ada berkuasa petrol atau hibrid dengan transmisi lapan jenis kelajuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.