Tinggal Toyota Prius sebelum jatuh jambatan  - Utusan Malaysia

Tinggal Toyota Prius sebelum jatuh jambatan 

KERETA Toyota Prius yang ditinggalkan di Kilometer 8.5 arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung pagi tadi sebelum mangsa dipercayai terjatuh ke laut dari jambatan kedua Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau jambatan kedua Pulau Pinang di Kilometer 8.5 arah Batu Kawan, menghala ke Batu Maung di sini, pagi tadi. 

Mangsa, Chow Yarn Wai, 39, dipercayai dari Kuala Lumpur meninggalkan kereta jenis Toyota Prius bersama barangan peribadi di atas jambatan itu kira-kira pukul 4.40 pagi. 

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian dari Pusat Kawalan Trafik Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat segera diaktifkan melibatkan bot PENGGALANG 12 dan KILAT 4 ke lokasi kejadian selain penyertaan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Marin Batu Uban serta Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan keluasan pencarian 22.42 batu nautika persegi. 

“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan berhampiran jambatan kedua. Sehingga kini usaha pencarian masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Tambah beliau, Maritim Malaysia memandang serius kes sebegitu dan berharap masyarakat tidak mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan membuat keputusan yang terburu-buru.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN