JOHOR BAHRU: Kerajaan sedang mengkaji potensi tenaga nuklear membekalkan elektrik yang bersih, stabil dan berdaya saing dalam campuran tenaga negara, pada masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kajian itu dibuat susulan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
“Inisiatif ini mengambil kira keperluan mempelbagaikan sumber tenaga negara bagi memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang sekali gus menyokong sasaran pengurangan pelepasan karbon dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
“Usaha ini juga selaras dengan komitmen negara terhadap perubahan iklim serta peningkatan permintaan tenaga domestik,” katanya merasmikan Mesyuarat Tahunan ke-12 Rangkaian Badan Kawal Selia Tenaga Atom ASEAN (ASEANTOM) di Hotel Renaissance, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Polis Johor, Komisioner Polis, Ab. Rahaman Arsad.
Tambah Fadillah, fokus utama kerajaan adalah memastikan sebarang keputusan berkaitan tenaga nuklear dibuat berasaskan analisis teknikal menyeluruh, selaras dengan keutamaan pembangunan negara.
“Ia juga mestilah mematuhi sepenuhnya kewajipan ditetapkan peringkat antarabangsa. Perkara ini seiring aspirasi Malaysia Madani yang menekankan perancangan jangka panjang berasaskan ilmu pengetahuan, kelestarian sumber serta kesejahteraan rakyat dan generasi masa depan.
“Malaysia juga menegaskan komitmen terhadap Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) di mana kami menggesa negara bersenjata nuklear menandatangani protokol itu dengan segera,” katanya.
Beliau menegaskan, zon bebas senjata nuklear adalah penting kepada keamanan serantau selain membina sikap saling mempercayai dalam aspek keselamatan jangka panjang.
Mesyuarat ASEANTOM Ke-12 dianjurkan Jabatan Tenaga Atom selama lima hari bermula hari ini menghimpunkan wakil badan pengawal selia tenaga atom dari 10 negara anggota ASEAN.
Ia turut dihadiri rakan kerjasama dialog dari Jepun, Korea Selatan dan organisasi antarabangsa termasuk Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). – UTUSAN










