SEMPORNA: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengutuk tindakan yang diambil terhadap Ahli Parlimen Sepanggar susulan ucapan perbahasannya dalam persidangan Parlimen.
Mohd. Shafie berkata, siasatan terhadap Datuk Mohd. Azis Jamman tidak seharusnya berlaku kerana kekebalan sebagai anggota Dewan Rakyat itu termaktub dalam Perkara 63, Perlembagaan Malaysia.
Berdasarkan Perkara 63, seorang ahli Dewan boleh bersuara selagi tidak menyentuh tentang hak Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.
“Ahli Dewan boleh bersuara berdasarkan fakta dan kebenaran kerana itu sudah menjadi hak seorang ahli Parlimen.
“Sekatan atau halangan ini tidak boleh berlaku di negara kita yang mengamalkan sistem demokrasi. Saya yakin Ahli Parlimen Sepanggar tidak berniat untuk menghasut rakyat, beliau cuma menyatakan kebenaran sahaja,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Warisan Bahagian Semporna, hari ini.
Semalam, Mohd. Azis dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman berhubung ucapannya dalam perbahasan Bajet 2022.
Pada 9 November menerusi ucapan perbahasannya, Mohd. Azis memberi amaran tentang gerakan mendesak Sabah keluar dari Malaysia susulan layanan tidak adil kepada Sabah dalam peruntukan Bajet 2022 dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, tindakan Putrajaya yang masih menganak-tirikan Sabah akan menyebabkan rakyat bangkit mendesak Sabah keluar dari Malaysia.
Dalam persidangan Parlimen hari ini, beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guang Eng meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat campur tangan dalam isu membabitkan Ahli Parlimen Sepanggar.
Anwar menyatakan sekiranya terdapat sebarang masalah mengenai kenyataan Ahli Parlimen Sepanggar, perkara itu perlu dibangkitkan pihak kerajaan dan dirujuk kepada jawatankuasa Parlimen untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Guan Eng berkata, beliau tidak faham mengapa hak dan keistimewaan ahli Parlimen semasa berucap di Parlimen diremehkan malah, boleh disiasat polis dan ini boleh dianggap mengertak atau imtimidasi terhadap ahli Parlimen lebih-lebih lagi pembangkang.-UTUSAN ONLINE