Tiga penganjur kempen PRN Melaka didenda RM18,000 - Utusan Malaysia

Tiga penganjur kempen PRN Melaka didenda RM18,000

ABDUL Majid Mohd. Ali ketika sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiga penganjur parti politik dikompaun RM18,000 selepas didapati melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, kesemua individu tersebut dikompaun susulan menganjurkan program berunsur kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sejak 26 sehingga 30 Oktober lalu.

Menurutnya, terbaharu, seorang penganjur parti pembangkang turut dikenakan kompaun berjumlah RM10,000 selepas didapati menyebabkan orang ramai berhimpun sehingga menyukarkan penjarakan fizikal di Taman Krubong Jaya pada Sabtu lalu.

“Pada 30 Oktober, polis menerima maklumat mengenai aktiviti tersebut dan pemantauan di lokasi mendapati beberapa individu sedang berucap di atas sebuah lori dengan dipasang kain rentang yang bertulis ‘Pilihan Raya Negeri 20 November 2021 Undilah Pakatan Harapan’.

“Program itu menyebabkan kira-kira 40 orang awam berkumpul, susulan itu kita telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM10,000 terhadap individu yang menganjurkan program tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini.

Tambahnya, penganjuran itu secara jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 yang melarang sebarang perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN.

Jelasnya, sejumlah RM4,000 lagi kompaun dikeluarkan masing-masing terhadap penganjur Perikatan Nasional (PN) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Beliau menambah, pihaknya turut membuka lima kertas siasatan berkaitan PRN.

“Kita telah membuka lima kertas siasatan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Peraturan 17 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Kesemua kertas siasatan yang dibuka akan dirujuk kepada pejabat pendakwaan dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan selanjutnya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN