PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan pertambahan tiga kluster baharu selepas semalam, mencatatkan hanya satu kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan tiga kluster itu menjadikan keseluruhan yang aktif sebanyak 235 kluster.
“Selain itu, 5,646 kluster telah tamat direkodkan manakala jumlah kluster terkumpul sejak berlakunya pandemik Covid-19 iaitu 5,881 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 iaitu 4,854 kes berbanding semalam, 5,859 kes sekali gus diatasi 5,525 kes sembuh.
Katanya, sebanyak 541 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 267 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 4,854 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 86 kes (1.8 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala bakinya, 4,768 kes (98.2 peratus) adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan penurunan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 41 kes berbanding kelmarin, 45 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 6 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 29,978 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak enam daripada 41 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,058 kes. -UTUSAN ONLINE










