MELAKA: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong mengakui hanya tidur kurang lima jam sehari memikirkan kaedah terbaik mendekati pengundi walaupun kawasan berkenaan merupakan kubu kuat parti itu sejak 40 tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Chee Leong berkata, beliau tidak pernah memandang rendah kemampuan calon-calon parti lain, sebaliknya terus agresif mengadakan kempen secara maya untuk menyampaikan misi dibawanya kepada rakyat.
“Saya tidak tahu bagaimana pihak lain memandang prestasi saya, namun saya tidak pandang ringan kekuatan mereka walaupun Kota Laksamana ini adalah kubu kuat DAP sejak lebih 40 tahun lalu.
“Sehingga hari ini saya terus aktif meneruskan aktiviti berkempen menggunakan media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp, malah saya tidur kurang lima jam sehari memikirkan kaedah terbaik untuk mendekati pengundi,” katanya.
Tambahnya, beliau turut turun padang memeriksa sendiri pemasangan bendera parti di DUN berkenaan, sebagai usaha meningkatkan keterujaan mengundi rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).
Chee Leong berkata, pihaknya mengetengahkan isu penambakan pasir yang dipercayai menyumbang kepada bencana banjir kilat di DUN itu.
“Kawasan ini turut dilanda banjir kilat disebabkan sistem perparitan yang tidak selari antara saliran lama dengan baharu yang dibina di kawasan tambakan.
“Satu pelan strategik untuk jangka masa panjang perlu ditubuhkan untuk memastikan kelancaran saliran air, malah saya turut bimbang dengan pelaksanaan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) yang mungkin akan memberi kesan di kawasan ini,” jelasnya.