KUALA LUMPUR: Ketiadaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam pertemuan antara pemimin parti dalam Perikatan Nasional (PN) malam ini tidak mencerminkan pergolakan berlaku dalam hubungan parti-parti dalam gabungan politik itu.
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan berkata, walaupun tanpa Pas, mesyuarat yang berlangsung di kediaman Tan Sri Muhyiddin itu tetap berjalan dalam keadaan baik.
“Pas tidak ada, tidak mengapa. Tapi kita akan bincang dengan Pas. Tiada sebarang pergolakan dengan Pas dan hubungan kami berada dalam keadaan baik.
“Perbincangan masih berjalan dan kami merancang untuk bertemu dengan Pas dalam masa terdekat. Bukan petanda buruk kalau Pas tidak hadir,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat di kediaman Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Punithan turut berkata, Pas tidak memaklumkan sebab ketidakhadiran mereka dalam pertemuan tersebut, namun perkara itu tidak menjadi isu.
Menurut Punithan, situasi berkenaan adalah perkara biasa dalam landskap politik dan hubungan sesama rakan masih kekal baik.
“Benda biasa dalam politik. Ini antara adik-beradik. Setia kawan masih tinggi. Kami masih berhubung dan berunding dengan Pas.
Semua pihak termasuk Gerakan, Bersatu dan saya sendiri masih dalam perbincangan dengan Pas. Jadi, sebenarnya tiada sebarang masalah. Cuma bagi langkah seterusnya, kami mahu semua pihak mencapai kata sepakat,” katanya.
Dalam pada itu, Punithan turut menyuarakan keyakinan bahawa gabungan pembangkang mempunyai potensi untuk mengambil alih tampuk pemerintahan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Kami adalah ‘government in waiting’. Sasaran kami jelas untuk mengambil alih pentadbiran negara pada PRU16 nanti,” katanya.
Terdahulu, ketiadaan Abdul Hadi pada mesyuarat malam ini menimbulkan tanda tanya mengenai hala tuju dan masa hadapan Perikatan Nasional (PN).-UTUSAN.










