MELAKA: Datuk Lim Ban Hong menegaskan tiada isu sekiranya beliau sebagai Timbalan Menteri menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang itu, tidak menjadi kesalahan untuk mana-mana individu yang mempunyai jawatan di peringkat Pusat untuk bertanding di peringkat negeri.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mempersoalkan mengapa isu berkenaan tidak dibangkitkan sewaktu hari penamaan calon pada 8 November lalu.
“Jadi borang saya telah diterima dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umum saya calon yang sah.
“Seharusnya perkara ini tidak perlu ditimbulkan menjadi isu oleh parti-parti lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
DAP sebelum ini mempersoalkan langkah Ban Hong yang bertanding dalam PRN Melaka.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan telah memohon cuti sepanjang tempoh pilihan raya itu.
Katanya, cuti itu diperlukan bagi membolehkannya memberi tumpuan penuh kepada kempen pilihan raya yang sedang berlangsung kini.
Menurut beliau, DAP seakan-akan sudah kehabisan modal apabila sengaja mempertikai isu Timbalan Menteri menjadi calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri.











