PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada sebarang laporan berkaitan kejadian samun susulan gambar serta maklumat yang tular dalam media sosial sejak semalam.
Superintenden Komunikasi Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Superintenden Skandaguru Anandan berkata, pihaknya mengesan satu sebaran maklumat melalui laman sosial dan aplikasi WhatsApp yang mendakwa terdapat individu mengetuk cermin pintu kereta sambil menghulurkan sekeping kad untuk bertanyakan arah.
Katanya, pada sama sama terdapat mata pisau di belakang kad digunakan untuk mencederakan mangsa sebelum membuat samun.
“Turut ditularkan dua keping gambar individu yang cedera didakwa mangsa dalam kejadian itu.
“Hasil semakan mendapati sebaran maklumat tersebut mula tular pada 2014 dan ditularkan semula akhir-akhir ini oleh individu tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Skandaguru, tiada sebarang laporan berkaitan modus operandi kejadian itu.
Ujarnya, wanita yang cedera adalah kejadian samun berlainan manakala gambar lelaki pada bahagian muka adalah mangsa pergaduhan di luar negara.
“Orang ramai dinasihat tidak mudah percaya dengan berita-berita yang tidak berasas serta ditentukan kesahihannya.
“Tindakan berkongsi atau menyebar berita sedemikian akan menimbulkan keresahan dan kebimbangan masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










