Tiada kelulusan penjualan pasir kalau PH menang

Tiada kelulusan penjualan pasir kalau PH menang

ADLY Zahari (tengah) ketika sidang akhbar di Graha Amanah Melaka di Bukit Katil, Melaka. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) berjanji tidak akan meluluskan sebarang penjualan pasir dan menilai semula keperluan projek tambakan laut yang telah berjalan sebelum ini, sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi PH negeri, Adly Zahari berkata, antara penilaian semula yang akan dilakukan termasuklah projek Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-Wez) bernilai kira-kira RM100 bilion. 

Jelasnya, tindakan itu telahpun dilaksanakan sebelum ini sepanjang 22 bulan PH memerintah, namun pengawalan aset negeri telah berubah mengikut kepemimpinan kerajaan negeri semasa. 

“Kerajaan PH Melaka tidak akan melaksanakan penjualan pasir, namun akan memberi perhatian khusus kepada pengurusan tambak laut dengan memastikan ia dilaksanakan secara berhemah. 

“Ini termasuklah mengkaji semula keperluan M-Wez kerana projek tersebut turut melibatkan pembangunan di kawasan Selatan Melaka, iaitu lokasi perikanan termasuklah penternakan kupang yang menjadi sumber pendapatan para nelayan,” katanya pada sidang akhbar di Graha Amanah Melaka di Bukit Katil, di sini hari ini. 

Sebelum ini, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Ke-12, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mengumumkan lebih 10,000 peluang pekerjaan dan peluang perniagaan bakal tersedia hasil daripada mewujudkan M-Wez.

Katanya, M-Wez yang meliputi kawasan tambakan pesisir pantai seluas 17,500 ekar di sepanjang 22 kilometer dari Umbai ke Tanjung Bruas di sini merupakan koridor pelaburan berimpak tinggi.

Dalam pada itu, Adly menyifatkan projek berkenaan sebagai terlalu mega, yang mana tidak memberi manfaat kepada rakyat untuk jangka masa panjang. 

“Sebenarnya kalau kita lihat kawasan tambakan M-Wez terlalu luas dan saya tidak rasa Melaka memerlukan itu untuk jangka masa panjang. 

“Sebab itu perancangan tambakan laut ini mestilah bersasar kepada keperluan pembangunan sahaja dan tidak secara menyeluruh,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya