Tiada hadiah dari London, buruh kasar rugi RM4,050 ditipu Roslaiha

Tiada hadiah dari London, buruh kasar rugi RM4,050 ditipu Roslaiha

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keterujaan seorang buruh kasar menerima kiriman hadiah dari luar negara oleh kenalan baharunya, berakhir dengan kekecewaan apabila mengalami kerugian sehingga RM4,050.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada 5 Oktober lalu, mangsa berusia 60 tahun dari Kampung Kuala Penor di sini berkenalan dengan seorang wanita dikenali sebagai Roslaiha dalam laman sosial Facebooknya. 

Menurutnya, perkenalan itu berlanjutan sehingga mereka berhubung pula menerusi aplikasi WhatsApp. 

“Setelah berhubung kira-kira seminggu, wanita berkenaan menyatakan hasratnya untuk menghantar bungkusan berupa hadiah dari London dan meminta butiran diri mangsa bagi melengkapkan penghantaran tersebut.

“Pada 11 Oktober lalu, mangsa menerima mesej di telefonnya daripada seorang lagi suspek dan memperkenalkan diri sebagai Badarudin Bidin kononnya wakil Syarikat Kurier London Limited.

“Namun begitu, suspek memberitahu barang (hadiah) mangsa sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) namun perlu membayar wang  proses dan caj dikenakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Wazir, susulan itu mangsa segera membuat pemindahan wang bagi mendapatkan barangan dijanjikan

“Mangsa melakukan enam transaksi bermula 12 Oktober hingga 1 November lalu ke atas penama akaun, Jude Uche yang berjumlah keseluruhannya RM4,050.

“Selepas mangsa membuat pemindahan  wang, suspek sudah tidak dapat dihubungi sekali gus tidak menerima sebarang penghantaran seperti dijanjikan. 

“Mangsa rasa ditipu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN