Tewas PRN Melaka, Mohd. Rafiq letak jawatan - Utusan Malaysia

Tewas PRN Melaka, Mohd. Rafiq letak jawatan

MOHD. RAFIQ NAIZAMOHIDEEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkuat kuasa serta-merta.

Jelas beliau, surat rasmi peletakan jawatan akan diserahkan kepada Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Peletakan jawatan ini bagi memberi peluang kepada kepimpinan baharu untuk mengetuai Bersatu Melaka dan PN negeri supaya mempunyai masa yang mencukupi bagi membuat segala persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Peletakan jawatan ini juga membolehkan segala fokus dapat diberikan untuk memperkukuhkan kedudukan dan sokongan rakyat terhadap PN di Parlimen Tangga Batu dan Bersatu Bahagian Tangga Batu.

“Pada masa sama, saya dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab saya sebagai Naib Presiden Bersatu menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Rafiq tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas dalam persaingan empat penjuru membabitkan Abdul Razak Abdul Rahman yang mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Ashraf Minghat (Pakatan Harapan) dan calon bebas, Ariff Adly.

Abdul Razak berjaya merampas kerusi Telok Mas daripada Bersatu dengan majoriti 2,076 undian.

Sementara itu, Mohd. Rafiq berharap agar rakyat Melaka dan Malaysia terus memberikan sokongan kepada PN agar mencapai kejayaan cemerlang pada PRU-15.

“Saya turut memohon jutaan kemaafan atas segala kekhilafan sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya