Terengganu salur bantuan tambahan kepada tiga beradik sakit saraf  - Utusan Malaysia

Terengganu salur bantuan tambahan kepada tiga beradik sakit saraf 

HANAFIAH Mat (berdiri tengah) melawat empat beradik yang lumpuh akibat sakit saraf di Kampung Teluk Kalong di Kemaman hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kerajaan negeri bersetuju menyalurkan bantuan tambahan bernilai RM150 seorang kepada tiga beradik dari Kampung Teluk Kalong di sini yang lumpuh akibat sakit saraf.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pemberian bantuan tambahan bermula Januari 2022 itu akan membolehkan tiga beradik berkenaan mendapat sekurang-kurangnya RM450 sebulan.

Katanya, Mohd. Marsudi Rozali, 36, dan Mohd. Aismuddin, 33, merupakan penerima bantuan tidak bekerja (BTB) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 seorang manakala Mohd. Amerizam, 42, pula menerima pencen ilat sebanyak RM1,000 sebulan.

“Difahamkan, bantuan sedia ada tidak mencukupi oleh itu kita bersetuju memberi tambahan RM150 lagi menerusi bantuan am JKM negeri.

“Saya juga akan membantu menguruskan bantuan JKM untuk Mohd. Amerizam bagi meringankan lagi beban ibunya yang terpaksa menjaga mereka bertiga secara bersendirian,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga berkenaan hari ini.

Hanafiah berkata, bantuan-bantuan lain akan dikenal pasti termasuk sumbangan lampin pakai buang daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Sementara itu, Rosanani Salleh, 62, berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri dalam meringankan bebannya bagi urusan penjagaan ketiga-tiga anaknya yang lumpuh berikutan pendapatan sebagai penjual lemang yang tidak menentu kira-kira RM800 sebulan.

“Ada masanya saya tidak dapat berniaga jika terputus bekalan buluh dan dengan bantuan tambahan JKM ini sekurang-kurangnya dapat melegakan bebanan saya, malah membolehkan saya meluangkan lebih banyak masa untuk menjaga mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN