Tarik semula kemudahan bekas PM, pinda Akta Ahli Parlimen Saraan  - Utusan Malaysia

Tarik semula kemudahan bekas PM, pinda Akta Ahli Parlimen Saraan 

TENGKU Razaleigh Hamzah ketika menjawab soalan dalam sesi dialog sempena majlis makan tengah hari anjuran Persatuan Graduan-graduan British Malaysia di Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa meminda Akta Ahli Parlimen (Saraan) Akta 1980 yang membenarkan bekas-bekas perdana menteri mendapat manfaat dengan nilai yang terlalu besar termasuk sebidang tanah dan kediaman bernilai jutaan ringgit. 

Bercakap Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, akta itu sama ada perlu ditarik semula atau dipinda beberapa bahagian di dalamnya kerana tiada kewajaran untuk bekas-bekas perdana menteri mendapat manfaat tersebut ketika mereka sudah mempunyai pelbagai faedah termasuk elaun wakil rakyat. 

“Saya rasa tidak perlu pun (kemudahan ini). Mana-mana kemudahan kepada bekas perdana menteri seperti tanah dan rumahnya, semua patut ditarik semula. 

“Kita sudah secara sukarela masuk (ke dalam politik dan kerajaan) kerana mahu berkhidmat untuk rakyat dan kita mendapat elaun dan sebagainya, itu sudah cukuplah. 

“Saya tegaskan, akta ini perlu dikaji semula. Mengapa kita perlu beri kepada perdana menteri atau mana-mana menteri?” soalnya ketika ditemui selepas menghadiri program makan tengah hari anjuran Persatuan Graduan-Graduan British Malaysia di kediamannya di No. 31, Jalan Langgak Golf, di sini hari ini. 

Untuk rekod, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa menyandang jawatan Perdana Menteri keempat adalah individu yang bertanggungjawab meminda akta tersebut bagi membolehkan bekas-bekas perdana menteri mendapat pelbagai faedah. 

Berdasarkan perenggan 21, Jadual Pertama akta sama menetapkan elaun dan keistimewaan bekas perdana menteri, membabitkan elaun kerajaan, pemberian khas bernilai RM1 juta secara sekali bayar dan tempat kediaman.

Bagi ‘hadiah’ kediaman, bekas perdana menteri mempunyai tiga pilihan sama ada rumah kerajaan dengan kelengkapan penuh dan diselenggarakan secara percuma; elaun sewa rumah bernilai RM10,000 sebulan jika mendiami rumah sendiri atau sebuah rumah kerajaan sesuai dengan status ‘bekas’ ditawarkan secara percuma.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan Kabinet menerima permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapatkan hadiah berupa sebidang tanah dan rumah bernilai RM100 juta yang dikatakan dimohon selepas pembentangan Bajet 2022, pada 29 Oktober lalu sekali gus mengundang rasa tidak puas hati majoriti wakil rakyat pembangkang. 

Ia susulan Dr. Mahathir sendiri meminta Tengku Zafrul menjelaskan mengapa Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 tidak menyentuh mengenai hartanah RM100 juta yang akan diberikan kepada Najib. 

Najib dalam hantaran di Facebook sebelum ini mempertahan tindakannya dan berkata, permohonan itu bukan ‘hadiah’ seperti dilaporkan sebaliknya pemberian biasa kepada semua bekas perdana menteri di bawah sama namun, beliau memaklumkan telah menolak tanah dan rumah tersebut kerana tidak mahu isu tersebut dijadikan bahan kontroversi ketika hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berakhir hari ini. 

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh itu turut mencadangkan supaya gaji semua wakil rakyat dipotong pada harga yang lebih rendah. 

“Gaji menteri yang tinggi-tinggi ini pun saya suruh (mahu) potong, yang bergaji RM80,000 (baik) potong sampai RM25,000 sahaja. Zaman saya, gaji cuma RM3,700 sahaja sebulan,” katanya.  – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya