MANCHESTER: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mendedahkan bahawa anak buahnya mampu menguasai permainan ketika menentang seteru utama di Old Trafford kerana Manchester United memilih untuk bermain dengan terlalu berhati-hati.
Dalam pertemuan itu, Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menguasai hampir keseluruhan permainan dengan Phil Foden mengakui ia adalah perlawanan terbaik yang pernah ditampilkan oleh City.
Guardiola bagaimanapun berbeza pendapat dan tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Foden apabila menegaskan bahawa mereka sebenarnya mampu beraksi lebih baik biarpun selepas mencatatkan kemenangan keenam di Old Trafford sejak mengambil alih pasukan itu lima tahun lalu.
“Biar saya berterus-terang. Saya tidak pernah menilai apa yang dilakukan lawan. Mereka menunggu di bawah dan kami menghukum dengan serangan balas.
“Mereka hanya menunggu dan mungkin kerana mereka menghormati kami. Itu satu penghargaan, cara terbaik untuk menghukum mereka adalah menguasai bola dan menyerang tepat pada waktunya.
“Kami melakukan perkara itu dan untuk peminat kami dan City adalah kelab terbaik di Manchester. Kami cemerlang sejak beberapa tahun lalu dan sudah memenangi banyak gelaran,” kata Guardiola.

Statistik perlawanan menyaksikan City menguasai 68 peratus perlawanan berbanding United 32 peratus, malah melakukan 16 percubaan ke gawang tuan rumah (5).
Kekalahan itu, meletakkan legenda The Red Devils Ole Gunnar Solskjaer kembali berada di kedudukan bahaya untuk disingkirkan, malah ketika berjalan keluar daripada stadium, penyokong United menyanyikan ‘chant’ (laungan sokongan) buat dirinya.
“Kami kalah setiap minggu, anda (Solskjaer) tiada yang istimewa,” laung peminat United selepas tamat perlawanan.- AGENSI