KOTA TINGGI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya memadamkan kira-kira separuh atau 49.77 hektar daripada keseluruhan 99.55 hektar kawasan tanah gambut yang terbakar di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai di sini.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Sabri Ramli berkata, kebakaran telah merebak dengan pantas susulan cuaca kering dan berangin.
“Buat masa ini, kesemua anggota menumpukan kerja pemadaman di Sektor B, manakala pemadaman di Sektor A tidak dapat dijalankan susulan sumber air yang jauh.
“Bagaimanapun kerja-kerja ‘fire break’ sedang dijalankan di Sektor B menggunakan sebuah ‘excavator’. Selain itu kerja mengepam air ke sektor berkenaan juga sedang dibuat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membanjiri kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Sabri, seramai 26 pegawai dan anggota bomba beserta empat jentera telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran tersebut.
“Operasi tersebut turut dibantu anggota dan jentera agensi lain seperti polis seramai 15 anggota, Angkatan Pertahanan Malaysia (4 anggota); JPS (7 anggota) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) seramai 8 anggota,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Datuk Asman Shah Abd Rahman dalam satu kenyataan memberitahu, seramai 150 penduduk terlibat kini ditempatkan di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS).
“Setakat pukul 7 malam tadi, 150 penduduk melibatkan sebanyak 49 buah keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapal,” katanya. – UTUSAN










