Suspek cabut 26 bendera parti ditahan - Utusan Malaysia

Suspek cabut 26 bendera parti ditahan

SEORANG lelaki ditahan selepas dipercayai mencabut 26 batang bendera dan kain rentang parti politik yang bertanding dalam PRN Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pemandu lori ditahan selepas dipercayai mencabut 26 batang bendera dan kain rentang parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Taman Melaka Perdana, Alor Gajah di sini, Isnin lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Azlan Abu berkata, kejadian tersebut disedari pegawai polis yang bertugas di lokasi sebelum bertindak menahan suspek yang berusia 48 tahun sebelum membawanya ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

“Hasil soal siasat, suspek mendakwa dia melakukan perbuatan tersebut atas alasan bahan kempen berkenaan telah menghalang pemandangan pengguna jalan raya yang ingin keluar dan masuk simpang berkenaan. Katanya tindakan tersebut dilakukan tanpa mempunyai sebarang niat atau elemen berkaitan politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, pemeriksaan di lokasi turut menemukan 26 batang bendera dicabut suspek membabitkan lapan logo Pakatan Harapan (PH), empat Perikatan Nasional (PN) dan 14 Barisan Nasional (BN).

“Selepas mengambil keterangan, suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.  Setakat ini pihak polis telah menerima lima laporan berkaitan perbuatan sabotaj bendera dan kain rentang parti politik dengan dua daripada laporan dibuat di daerah Melaka Tengah, manakala dua di Alor Gajah serta satu di Jasin,” jelasya.  – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN