Suri rumah tabah jaga suami lumpuh - Utusan Malaysia

Suri rumah tabah jaga suami lumpuh

NURUL Atikah Abdullah mengurus suaminya, Zulkifli Mohd. Daud yang terlantar akibat strok di rumahnya di Kampung Parit Panjang, Baling. – UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang suri rumah dari Kampung Parit Panjang di sini tabah menghadapi ujian dalam keadaan serba kekurangan apabila terpaksa menguruskan suaminya yang lumpuh akibat strok sejak dua tahun lalu.

Menurut Nurul Atikah Abdullah, 44, suaminya, Zulkifli Mohd. Daud, 54, hanya mampu terlantar kerana penyakit tersebut selain kerap mengalami muntah yang teruk.

Katanya, dia bersama suami serta lapan anak berusia antara 10 hingga 25 tahun kini menumpang rumah ibunya.

“Sebelum ini, saya dan suami berniaga ikan di merata tempat sebelum suami jatuh sakit apabila mengalami kebas di bahagian kiri badan serta kerap muntah sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

“Sejak dari itu, suami hanya terlantar di atas katil kerana bahagian kiri badannya tidak boleh bergerak. Dia juga tidak boleh makan nasi dan makanan lain selain susu kerana akan muntah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, suaminya bergantung kepada susu dengan perbelanjaan lebih RM400 sebulan.

“Ia tidak termasuk perbelanjaan lain seperti lampin pakai buang, ubat-ubatan dan kos ulang alik ke Hospital Daerah Baling dan HSAH yang melebihi RM1,000 sebulan,” ujarnya.

Nurul Atikah memberitahu, mereka menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 dan bantuan zakat RM300 sebulan, namun,semuanya digunakan untuk keperluan suami.

“Kami juga sudah puas berusaha pelbagai cara untuk berubat bagi memulihkan penyakit suaminya tetapi keadaannya tetap tidak berubah,” jelasnya.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Nurul Atikah di talian 017-2351946. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN