DEMI mewujudkan suasana pembelajaran yang ceria dan selesa, seorang guru pelatih memilih berpakaian kostum kreatif semasa sesi pengajaran di dalam kelas.
Idea itu diketengahkan Chen Jie Ling, 22, semasa mengajar subjek Sejarah dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) di sebuah sekolah rendah di Sungai Petani, Kedah.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja berjaya mengekalkan konsentrasi murid, malah meningkatkan rasa teruja mereka untuk memahami sesuatu topik dengan lebih mendalam.
Tanpa disangka, murid juga menjadi lebih berani bertanya soalan serta menyuarakan pendapat.
Dia percaya, penggunaan elemen penceritaan dan visual melalui watak-watak tertentu, membantu murid mengingati fakta sejarah dengan lebih berkesan.
Antara watak yang digayakannya ialah pegawai British, tokoh Kesultanan Melaka serta masyarakat awal seperti Mesopotamia, Neolitik dan Paleolitik.
“Subjek Sejarah sering dianggap berat dan membosankan, justeru untuk menarik minat mereka saya cuba ubah kaedah pengajaran tradisional yang terlalu berfokus kepada bacaan serta hafalan semata-mata.
“Percubaan itu berhasil kerana murid berasa seronok, aktif di dalam kelas dan mudah mengingati fakta.
“Paling membanggakan, prestasi mereka turut menunjukkan peningkatan sepanjang tiga bulan saya berkhidmat,” katanya baru-baru ini.

Anak jati Selangor ini bakal menamatkan pengajiannya di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kampus Sultan Abdul Halim pada Mei tahun depan.
Bagi subjek RBT pula, Jie Ling pernah melakonkan watak profesor dan menjadi robot dengan menggunakan kotak.
Bagaimanapun, pendekatan yang diambil itu tetap disesuaikan dengan kandungan pelajaran di samping mengekalkan kesopanan serta profesionalisme sebagai pendidik.
Berhabis RM4,000
Anak sulung daripada dua beradik ini membelanjakan hampir RM4,000 untuk membeli kostum dan alat bantu mengajar.
Menariknya, ada kostum yang dihasilkan melalui konsep suai padan bagi menepati watak yang ingin ditampilkan.
“Sejak kecil saya sudah bercita-cita menjadi guru, jadi saya tidak kisah perlu berbelanja lebih untuk membeli kostum,” katanya.
Baginya, pelaburan yang dibuat itu adalah sebahagian daripada minat dan sumbangan peribadi kepada dunia pendidikan.
Hal itu kerana, dia percaya peranan guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membentuk pengalaman pembelajaran yang bermakna dan mempengaruhi personaliti murid.
Walaupun pendekatannya tampak santai dan kelakar, namun aspek disiplin tetap menjadi keutamaan.
“Murid mungkin selesa dengan saya, tetapi masih ada batasan dan saya akan bersikap tegas serta garang kalau kerja sekolah tidak siap,” katanya.

Reaksi terkejut murid
Jie Ling tidak menafikan penampilan pertamanya dengan imej cosplay mengejutkan murid-murid di kelas.
Tetapi, lama-kelamaan, mereka mula biasa dengan pemandangan itu, malah sering tertunggu-tunggu watak baru yang akan digayakannya.
Dengan sambutan positif itu, dia tidak menolak kemungkinan akan meneruskan pendekatan sama apabila mula bekerja kelak.
Katanya, idea kreatif itu boleh dicuba oleh guru lain, namun tidak semua mampu melakukannya disebabkan kos.
Mengulas mengenai pandangan guru-guru pula, dia mengakui menerima pelbagai reaksi termasuk pujian dan kritikan.
Namun, tidak melemahkan semangatnya untuk meneruskan pendekatan itu selagi niatnya baik, beretika dan memberi manfaat kepada murid.
Apatah lagi, dia mendapat sokongan murid-muridnya dan maklum balas positif di media sosial.
“Saya pernah tersinggung dengan tindakan seorang guru yang mengambil gambar saya tanpa kebenaran dan menggelar saya ‘wanita gila’,” katanya.










