KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada tujuh syarikat korporat berjumlah RM20.05 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Istana Alam Shah, di sini hari ini.
LZS dalam kenyataan berkata, majlis penyerahan zakat itu didahului UMW Holdings Berhad yang diwakili Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Ahmad Fuaad Mohd. Kenali menyerahkan bayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 sebanyak RM4.29 juta.
Kemudian diikuti Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mewakilkan Pengerusi, Datuk Seri Hassan Ariffin menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 sebanyak RM3.93 juta.
“Gas Malaysia Berhad diwakili CEO Kumpulan, Ahmad Hashimi Abdul Manap menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM3.5 juta diikuti Pharmaniaga Berhad yang diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly bagi tahun kewangan 2021 berjumlah RM3.5 juta.
“Seterusnya, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) diwakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 berjumlah RM2.07 juta manakala Northport (Malaysia) Berhad diwakili CEO, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof menyerahkan zakat perniagaannya bagi tahun kewangan 2020 berjumlah RM1.95 juta,” katanya.
Turut menunaikan zakat perniagaan ialah Lembaga Juruukur Tanah Malaysia berjumlah RM1 juta diserahkan oleh CEO, Datuk Ismail Harun bagi tahun kewangan 2021.
Upacara penyerahan zakat turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof; Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan CEO LZS, Saipolyazan M. Yusop. – UTUSAN










