SPR bakal ada mesyuarat bincang tarikh PRN Sarawak - Utusan Malaysia

SPR bakal ada mesyuarat bincang tarikh PRN Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini berkata, tarikh mesyuarat itu bagaimanapun akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR sendiri.

Ia susulan penamatan rasmi Proklamasi Darurat negeri itu setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

SPR ujarnya, turut menerima pemakluman rasmi Ketua Menteri Sarawak, Datuk Dr. Abang Johari Tun Openg berhubung persetujuan dari Seri Paduka Baginda.

Ia melibatkan pembatalan Proklamasi Darurat (Sarawak) PU (A) 323 sebagai mana termaktub di bawah Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 PU (A) 324.

Berdasarkan Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Dewan Undangan Negeri (DUN) hendaklah terbubar pada tarikh proklamasi tersebut dinyahwartakan.

“Justeru di bawah Seksyen 3(4) ordinan itu, maka PRN hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh proklamasi tersebut telah dibatalkan atau diungkaikan,” kata Ikmalrudin.

Kenyataan terbaharu SPR itu turut selari dengan laporan eksklusif Utusan Online semalam yang ada menyatakan PRN Sarawak Ke-12 perlu diadakan sebelum tarikh 3 Januari 2022 kelak.

Bagaimanapun disebabkan PRN Melaka Ke-15 bakal adakan pada 20 November, mesyuarat khas SPR itu dijangka dibuat selepas penamaan calon di negeri Hang Tuah itu pada Isnin ini.

Beberapa penganalisis politik tempatan termasuk Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Jeniri Amir meramalkan PRN Sarawak Ke-12 kemungkinan besar berlangsung bulan depan.

Ini dengan mengambil kira cuti persekolahan akhir tahun dari 11 Disember sehingga 2 Januari 2022 dan senario kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa negeri itu sudah 90 peratus.

Ketika PRN Sarawak Ke-11 pada 2016 lalu, ia dibuat cuma 27 hari selepas pembubaran DUN pada 11 April, diikuti penamaan calon 25 April dan hari pengundian 7 Mei tahun tersebut.

DUN Sarawak sudah pun terbubar secara automatik pada 7 Jun lalu selepas mencapai tempoh matang lima tahun, tetapi PRN tidak dapat dilaksanakan ekoran lanjutan darurat negeri itu.

Ia susulan pengisytiharan darurat selama enam bulan lagi pada 31 Julai lalu oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkuat kuasa sehingga 2 Februari 2022 depan.

Namun, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan pada 12 Januari lepas sudah terbatal dan diungkaikan oleh kerajaan pada 1 Ogos lalu setelah berakhir tempohnya.

Sehubungan itu, Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar tidak perlu memaklumkan notis pembubaran kepada SPR kerana DUN itu memang telah terbubar. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya