SME Bank sedia pinjaman RM900 juta untuk PKS - Utusan Malaysia

SME Bank sedia pinjaman RM900 juta untuk PKS

NOH Omar berbual dengan Norsyarmilla Jirin daripada Biz Milla Catering (M) Sdn. Bhd. ketika menyampaikan sijil penghargaan sempena Program JomXcess SME Bank Wilayah Selatan di Hotel Thistle, Johor Bahru di Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerusi agensi di bawah seliaannya, SME Bank menyediakan kemudahan pembiayaan pinjaman RM900 juta dalam usaha membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada peruntukan RM40 bilion yang diterima sektor PKS dalam Bajet 2022.

Beliau berkata, kemudahan pembiayaan pinjaman itu antara lain bagi membantu usahawan PKS sedia ada yang terjejas disebabkan pandemik selain akan memberi manfaat kepada golongan muda yang baharu melibatkan diri dalam perniagaan secara dalam talian.

“RM900 juta disediakan melalui inisiatif pendanaan ekuiti dan quasi-equity dengan dana bernilai RM600 juta yang diterajui SME Bank membabitkan kerjasama Teraju Bumiputera Corporation (Teraju) dan Bank Simpanan Nasional.

“Sejumlah RM200 juta disediakan untuk IBS Promotion Fund yang membabitkan sektor pembinaan manakala RM100 juta disediakan di bawah program Pembiayaan Usahawan Muda (YEF2.0).

“Langkah proaktif SME Bank menerusi Program Jom Xcess di Wilayah Selatan hari ini menyokong aspirasi Semarak Niaga Keluarga Malaysia serta membuka lebih banyak peluang baharu kepada usahawan PKS untuk mengukuhkan kembali perniagaan yang diusahakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Jom Xcess SME Bank Wilayah Selatan di sini hari ini. Yang turut hadir Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank, Mohammad Hardee Ibrahim.

Noh berkata, sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 370,000 pendaftaran perniagaan secara dalam talian diterima Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Katanya, permohonan bagi mendapatkan pelbagai kemudahan pembiayaan pinjaman berkenaan boleh dibuat ketika ini dan akan diluluskan bermula Januari tahun depan.

“Bagi memastikan peminjam tidak terbeban untuk membayar semula pinjaman, kerajaan akan menampung jumlah kadar faedah sebanyak dua peratus yang disubsidi sepenuhnya oleh kerajaan.

“Kita juga berharap agensi pembiayaan pinjaman memudahkan usaha usahawan PKS dalam membuat pinjaman tanpa perlu melalui karenah birokrasi yang rumit memandangkan keadaan sukar dilalui ketika ini disebabkan pandemik Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Hardee berkata, Pusat Wilayah Selatan mempunyai 512 pelanggan dengan nilai pembiayaan sebanyak RM505.6 juta.

Katanya, bagi tahun ini sehingga September lalu, Pusat Wilayah Selatan SME Bank telah menerima meluluskan pembiayaan yang bernilai RM255.3 juta kepada 115 pengguna, melebihi sasaran kelulusan sebanyak RM200 bagi 2021.

“Melihat kepada potensi yang ada di Wilayah Selatan, SME Bank akan memastikan program Jom Xcess menjadi platform terbaik membantu menyelesaikan masalah akses kepada pembiayaan dengan lebih efektif dan efisien,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.